NURZILLA MOHAMAD
SIBU: Menteri Muda Pendidikan dan Penyelidikan Sains dan Teknologi, Dr. Annuar Rapa’ee, mahu semua pihak memberi fokus terhadap kebajikan rakyat yang terjejas dengan pelaksanaan PKP.
Katanya, beberapa portal berita telah tampil mendakwa beliau mengawal dana bantuan Covid-19 daripada Kerajaan Sarawak berjumlah RM1 juta untuk lima kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Sibu.
“Saya tidak mahu fokus terhadap isu tersebut buat masa ini dan saya mahu perkara mengarut ini dihentikan segara.
“Fokus saya pada waktu ini adalah untuk memerangi penularan Covid-19, bukannya berperang dengan fitnah dari dakwaan palsu semata-mata.
“Saya tidak mahu membazir masa dengan melayan semua isu ini. Jika tidak, rakyat akan terkesan,” katanya pada sidang media di Pejabat Residen Bahagia Sibu, semalam.
Dr. Annuar menegaskan perkara itu apabila ditanya oleh pemberita sama ada beliau akan membuat laporan polis atau mengambil tindakan undang-undang terhadap portal yang mendakwa beliau mengawal dana bantuan Covid-19 tersebut.
Beliau turut menegaskan bahawa beliau tidak mempunyai kuasa atau peranan untuk mengawal dana berjumlah RM1 juta dari Kerajaan Sarawak itu.
Katanya, dana tersebut disalurkan terus ke akaun Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Sibu (JPBBS) yang dipengerusikan oleh Residen Bahagian Sibu Charles Siaw.
“Semua duit tersebut tidak masuk ke akaun saya atau ke akaun Pusat Khidmat (Nangka) saya. Jadi bagaimana saya boleh mengawal wang tersebut.
“Saya juga tidak mengawal pesanan pembelian barangan makanan dan pembekal mana yang layak, sedangkan semua ini dilakukan oleh Pejabat Residen dan Jabatan Kebajikan Masyarakat,” katanya.