SPAOH: Bebuling Agro Park berpotensi menjadi model pertanian moden di Sarawak apabila penggunaan teknologi dan inovasi membuktikan hasil tanaman berkualiti tinggi mampu diusahakan walaupun berdepan kekangan tanah.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata galeri yang dibangunkan di taman agro itu membuktikan pertanian berasaskan teknologi bukan sekadar konsep, sebaliknya boleh dilaksanakan secara praktikal untuk meningkatkan produktiviti.
Menurutnya, sayur-sayuran yang dihasilkan di galeri berkenaan hanya mengambil masa kira-kira 25 hari sebelum dituai.
“Dengan keluasan 4,800 kaki persegi, pengeluaran boleh mencecah sehingga setengah tan dalam tempoh yang sama,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja singkat ke Galeri Bebuling Agro Park di sini, hari ini.
Uggah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban berkata Bebuling Agro Park mempunyai keluasan keseluruhan kira-kira 700 hektar, dengan 60 hektar diperuntukkan kepada Lotus Farm Agritech Sdn Bhd bagi pembangunan termasuk sistem hidroponik.
Katanya, kawasan itu akan dibangunkan sebagai kelompok pertanian komersial, manakala syarikat yang mempunyai teknologi, kemampuan, modal dan pasaran akan diberi peranan mengendalikan operasi taman agro.
“Kawasan ini mempunyai kelebihan kerana lokasinya berhampiran pusat pembeli dan lapangan terbang, sekali gus memudahkan pemasaran serta pengedaran hasil pertanian,” katanya.

Menurut Uggah, pemilik tanah sedia ada turut berpeluang menyertai kegiatan pertanian dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) serta memastikan hasil yang dikeluarkan memenuhi piawaian kualiti ditetapkan.
Katanya, penggunaan teknologi seperti cocopeat dan sistem pengairan terkawal mampu mengurangkan kebergantungan kepada keadaan tanah, sekali gus membuka peluang untuk kaedah berkenaan diperluaskan ke kawasan lain.
“Teknologi ini membolehkan kita mengurangkan masalah tanah dan pada masa sama meningkatkan produktiviti tanaman,” katanya.
Dalam pada itu, aspek pemasaran dan pembungkusan hasil turut diberi perhatian menerusi pembangunan pusat pemasaran dan pembungkusan yang terletak hanya beberapa ratus meter dari galeri berkenaan.
Uggah berkata perkembangan itu menunjukkan visi pembangunan Bebuling Agro Park semakin direalisasikan, selain membuka ruang lebih luas kepada penduduk tempatan untuk menyertai sektor pertanian serta memasarkan hasil mereka ke luar kawasan.
Beliau turut menyifatkan pengeluaran terung Dayak di kawasan berkenaan sebagai antara contoh tanaman berpotensi yang boleh dijadikan model kepada pengusaha pertanian lain.
Dengan gabungan teknologi, pengurusan moden dan kemudahan pemasaran, Bebuling Agro Park dilihat mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan sektor pertanian komersial serta memberi peluang baharu kepada komuniti setempat.
Oleh Adi Safarman




