SHAHRUL QAIZAT
KUCHING: Beberapa penyandang kerusi Parlimen ada menyatakan untuk tidak lagi bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) kali ini.
Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS), Dato Sri Fadillah Yusof berkata, mereka memberikan ‘petunjuk’ itu pada mesyuarat baru-baru ini.
“Pada mesyuarat baru-baru ini ada beberapa Ahli Parlimen memberi petunjuk untuk tidak bertanding, jadi sudah tentu ada muka baharu (sebagai ganti),” katanya yang juga Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).
Bagamanapun, Menteri Kanan Kerja Raya itu tidak menyatakan sama ada perkara itu berlaku pada mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi GPS atau Majlis kerja Tertinggi PBB yang diadakan pada hari sama di ibu pejabat PBB di sini, Selasa lalu.
Fadillah yang juga penyandang kerusi Parlimen Petrajaya berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mesyuarat persediaan PRU-15 bagi kawasan Parlimen Petra Jaya di di sini, hari ini.
Sebelum Parlimen dibubar, PBB yang menerajui GPS mempunyai 13 Ahli Parlimen. Tiga lagi parti komponen GPS iaitu Parti Rakyat Sarawak (PRS) memiliki dua kerusi Parlimen, Parti Demokratik Progresif (PDP) juga dua kerusi dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dengan satu kerusi.
Fadillah bagaimanapun berkata, nama calon baharu termasuk penyandang yang akan dicalonkan semula, diumum sendiri oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg nanti.
Katanya, apa yang penting PBB terutama bagi kawasan Parlimen Petra Jaya sudah bersedia untuk mengharungi PRU-15.
Beliau berkata, pihaknya sudah membentuk jentera Pilihan Raya di peringkat Parlimen P194 Petra Jaya dan gerak kerja sudah dimulakan.
Beliau turut mengumumkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samariang, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali dilantik sebagai Pengarah Operasi untuk jentera pilihan raya P194 Petra Jaya.
Sementara itu, Fadillah menyatakan sokongannya terhadap titah Yang di-Pertuan Agong supaya parti, calon dan jentera parti berkempen tanpa menyentuh isu-isu sensitif seperti isu perkauman.
“Berkempenlah secara berkhemah, mematuhi undang-undang dan juga peraturan.
“Inilah budaya yang diamalkan di Sarawak khususnya GPS, dan kita menyokong supaya sensitiviti tidak disentuh, biarlah kita berkempen berdasarkan dasar parti iaitu apa yang kita boleh sumbang kepada negeri dan negara kita.
“Ini bagi memboleh keadaan yang lebih baik bukan kaedah serangan terhadap individu atau perkara yang boleh menyebabkan gangguan terhadap struktur sosial masyarakat,”katanya.