Eksklusif: Pelajar ‘serah’ otak kepada AI, kemahiran berfikir terhakis

Facebook
WhatsApp
PENGARAH Pusat Pembelajaran Fleksibel (CFLEX), Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Profesor Madya Dr Joseph Ramanair ketika ditemui Utusan Sarawak di Unimas.

KUCHING, 4 Oktober: Mahasiswa yang terlalu bergantung kepada kecerdasan buatan (AI) dikhuatiri tidak lagi menggunakan fikiran sendiri sebelum mendapatkan jawapan daripada teknologi itu.

Pengarah Pusat Pembelajaran Fleksibel (CFLEX), Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Profesor Madya Dr Joseph Ramanair berkata, mahasiswa perlu menggunakan AI sebagai alat tambahan kepada pemikiran mereka dan bukannya menyerahkan proses berfikir kepada teknologi berkenaan.

“Kebergantungan itu menjadi berbahaya apabila mahasiswa menyerahkan sistem pemikiran mereka kepada AI dan tidak lagi berfikir untuk diri sendiri.

“AI sepatutnya menjadi lanjutan kepada pemikiran kita. Kita fikir dahulu jawapan yang mungkin, kemudian gunakan AI untuk melihat pilihan dan kemungkinan lain yang berada di luar pemikiran kita,” katanya.

Beliau yang juga Pensyarah Kanan di Fakulti Pendidikan, Bahasa dan Komunikasi (FELC), Unimas berkata demikian dalam temu bual eksklusif bersama Wartawan Utusan Sarawak, Masrin Affirah di CFLEX Unimas, baru-baru ini.

Pihak industri mula persoal hasil kerja mahasiswa

Dr Joseph turut menyatakan kebimbangan itu bukan sekadar andaian kerana terdapat maklum balas daripada pihak industri yang mula mempersoalkan penggunaan AI secara berlebihan dalam kalangan mahasiswa.

“Ada keadaan apabila penggunaan AI terlalu banyak dan sangat ketara menyebabkan hasil kerja pelajar tidak lagi menunjukkan pemikiran atau idea asal mereka.

“Justeru, mahasiswa tidak sepatutnya melihat AI sebagai jalan mudah untuk menyiapkan tugasan, sebaliknya menggunakannya untuk membantu mereka mendapatkan idea dan melihat pilihan yang mungkin tidak terfikir sebelum ini,” tegasnya.

Jangan terus percaya jawapan AI, semak semula fakta

Dr Joseph berkata, mahasiswa juga perlu mempunyai kemahiran menilai jawapan yang diberikan AI kerana antara masalah yang membimbangkan ialah mereka menerima jawapan tanpa memeriksa sama ada ia betul atau tepat.

“Kadang-kadang mahasiswa tanya satu soalan, AI bagi jawapan dan mereka terus ambil. Mereka tidak semak sama ada jawapan itu betul atau tepat. Betul dan tepat itu dua perkara yang berbeza. Itu satu kemahiran

“Mahasiswa juga perlu belajar bertanya soalan dengan lebih baik, termasuk memberikan konteks, latar belakang dan keadaan sebenar supaya jawapan yang diperoleh lebih sesuai.

“Banyak mahasiswa tidak tahu bagaimana hendak bertanya soalan. Jadi kita perlu melatih mereka untuk berfikir dahulu sebelum bertanya,” jelasnya.

Menurut Dr Joseph, kebergantungan kepada AI turut boleh dilihat apabila mahasiswa mampu menghasilkan penulisan yang baik tetapi tidak dapat menerangkan semula hasil kerja mereka.

“Banyak mahasiswa menulis dengan sangat baik dan pensyarah mula mengesyaki mereka menggunakan AI. Mereka menyalin daripada AI untuk menjimatkan masa. Tetapi apabila sampai masa pembentangan secara lisan, mereka boleh jadi ‘blank’ dan tidak dapat menjawab.

“AI tidak boleh menerangkan keputusan yang dibuat oleh mahasiswa atau sebab mereka memilih sesuatu kaedah dalam tugasan atau penyelidikan.

“AI tidak boleh memberi justifikasi terhadap pilihan peribadi atau keputusan penyelidikan yang dibuat oleh mahasiswa kerana AI hanyalah alat,” tambahnya.

AI jadi ‘otak kedua’, bukan pengganti

Dr Joseph menjelaskan bahawa mahasiswa perlu melihat AI sebagai ‘otak kedua’ yang membantu mengembangkan pemikiran mereka

“Fikir dahulu, kemudian gunakan AI untuk melihat apa lagi yang boleh diterokai.

“AI boleh menjadi seperti ‘otak kedua’, tetapi kita yang perlu mengawal dan menilai apa yang diberikan.

“Pendekatan itu sama seperti penggunaan kalkulator yang memudahkan kerja manusia tanpa bermaksud manusia tidak lagi perlu memahami apa yang sedang dikira,” tambahnya.

Universiti perlu ubah cara nilai mahasiswa

Dalam pada itu, Dr Joseph berkata, universiti juga perlu memikirkan semula kaedah penilaian mahasiswa kerana tugasan bertulis sahaja mungkin tidak lagi mencukupi dalam keadaan AI semakin mudah digunakan

Katanya, penilaian boleh melibatkan pembentangan dan soal jawab bagi melihat bagaimana mahasiswa mencapai sesuatu kesimpulan serta sebab mereka membuat keputusan tertentu.

“Kalau mereka hanya hantar tugasan, kita tidak tahu sama ada mereka benar-benar faham atau tidak.

“Tetapi apabila mereka perlu menerangkan kenapa mereka sampai kepada sesuatu jawapan, kita boleh lihat pemahaman mereka.

“Mahasiswa juga boleh diminta menyatakan bagaimana mereka menggunakan AI, termasuk apa yang ditanya kepada AI dan bagaimana jawapan yang diperoleh diperiksa atau diperbaiki,” ujarnya.

Kemahiran penting untuk masa depan

Dr Joseph menggariskan beberapa kemahiran yang perlu dikuasai mahasiswa bagi menghadapi perubahan cara kerja akibat perkembangan teknologi.

Antaranya:

  • berfikir;
  • menyusun;
  • merancang;
  • memeriksa;
  • menentukan perkara yang betul atau salah;
  • menghasilkan idea sendiri; dan
  • mereka bentuk semula sesuatu perkara.

“Universiti bukan sekadar tempat untuk mengumpul maklumat kerana maklumat boleh dicari di internet, yang mahasiswa perlu belajar di universiti ialah kemahiran,” tegasnya.

Oleh Masrin Affirah