Bebas visa bukan bebas bekerja, PPS gesa kawalan warga asing diperketat

Facebook
WhatsApp
PRESIDEN Pertubuhan Pengguna (PPS), Dr Wynson Ong Teck Ping.

KUCHING: Kemudahan bebas visa kepada warga asing tidak seharusnya disalahertikan sebagai kebebasan untuk bekerja atau menjalankan perniagaan tanpa kebenaran di negara ini.

Presiden Pertubuhan Pengguna (PPS), Dr Wynson Ong Teck Ping berkata, dasar Kerajaan Malaysia memberikan kemudahan bebas visa kepada warganegara China mempunyai tujuan baik dalam merancakkan sektor pelancongan, perbelanjaan, pelaburan dan perdagangan serta memperkukuh hubungan kedua-dua negara.

Bagaimanapun katanya, kelonggaran kemasukan itu perlu diseimbangkan dengan kawalan, pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang yang lebih berkesan selepas seseorang warga asing memasuki negara ini.

“PPS tidak melihat isu ini dari sudut kewarganegaraan, tetapi dari sudut pematuhan undang-undang. Malaysia mengalu-alukan pelancong, pelabur dan warga asing yang datang secara sah serta menghormati undang-undang negara kita.

 PEMERIKSAAN…Dr Wynson Ong Teck Ping ketika mengikuti satu operasi pemeriksaan bersama anggota penguat kuasa.

“Namun, sekiranya kemudahan bebas visa disalahgunakan untuk bekerja secara haram, menjalankan perniagaan tanpa kebenaran atau memperdaya pengguna, tindakan tegas perlu diambil,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurut Wynson, PPS sejak kebelakangan ini menerima banyak aduan membabitkan warga asing yang mengiklankan perkhidmatan menerusi media sosial, antaranya menawarkan pemeriksaan kebocoran rumah dan jubin secara percuma.

Katanya, individu terbabit didakwa memasuki rumah pengguna untuk melakukan pemeriksaan dan kerja pembaikan sebelum mengenakan bayaran sehingga ribuan ringgit.

Dalam beberapa kes, katanya, turut timbul persoalan mengenai permit kerja, pembayaran ke akaun bank peribadi serta masalah yang masih tidak selesai meskipun bayaran sudah dibuat.

Malah, terdapat individu terbabit yang didakwa sukar atau gagal dihubungi selepas menerima bayaran.

Beliau berkata, PPS turut menerima maklum balas daripada mangsa yang mendakwa laporan polis telah dibuat, namun mereka tidak mengetahui perkembangan tindakan susulan sehingga tidak pasti saluran seterusnya untuk mendapatkan pembelaan.

Sehubungan itu, katanya, sekiranya kemasukan warga asing dipermudah, mekanisme pemantauan selepas mereka memasuki negara ini juga perlu diperkukuh supaya kemudahan berkenaan tidak disalahgunakan.

Pada masa sama, PPS berpandangan aduan dengan modus operandi hampir sama yang muncul di beberapa bandar termasuk Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri tidak seharusnya dinilai secara berasingan semata-mata sebagai pertikaian pengguna atau isu sivil.

“Satu kes mungkin dilihat sebagai pertikaian. Tetapi apabila 10, 20 atau lebih mangsa tampil dengan modus operandi yang hampir sama, perkara itu sudah sewajarnya disiasat sama ada mempunyai unsur kegiatan berulang, terancang atau berorganisasi,” katanya.

Wynson berkata, pihak berkuasa juga wajar menyiasat sekiranya terdapat individu memasuki Malaysia sebagai pelancong atau menggunakan kemudahan bebas visa tetapi kemudian menjalankan kerja pembaikan rumah, renovasi, mengambil projek atau menyediakan perkhidmatan berbayar.

Dalam perkembangan sama, PPS turut menggesa kerajaan menilai semula keberkesanan hukuman terhadap kesalahan berkaitan penipuan dalam talian dan rentas sempadan bagi memastikan penalti dikenakan benar-benar mempunyai kesan pencegahan.

Menurutnya, hukuman lebih tegas wajar dipertimbangkan terutama bagi kes berulang, terancang, membabitkan ramai mangsa atau berlaku merentasi beberapa kawasan.

PPS turut menggesa kerjasama dan perkongsian maklumat antara Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia serta agensi penguatkuasaan berkaitan diperkukuh bagi membolehkan aduan dengan modus operandi sama dipadankan dan disiasat secara menyeluruh.

“Bebas visa boleh memudahkan kemasukan, tetapi undang-undang tidak boleh dilonggarkan. Pekerjaan haram mesti dibanteras dan penipuan mesti diambil tindakan tegas,” tegasnya.