SARIKEI: Musim tengkujuh atau monsun timur laut (MTL) menurut Jabatan Meteorologi Malaysia dijangka bermula hari ini dan berterusan sehingga Mac tahun depan.
Susulan itu, lima hingga tujuh episod hujan lebat dijangka akan berlaku di negeri-negeri pantai timur Semenanjung, Sabah dan Sarawak sepanjang tempoh tersebut.
Bagi mengetahui tahap persediaan menghadapi musim tengkujuh, Ketua BBP Sarikei, Mahmudin Narudin ketika dihubungi pemberita Utusan Sarawak hari ini berkata, pihak Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei telah mengambil pelbagai langkah bagi mengadapi MTL.
Antaranya, latihan dan simulasi melibatkan lokasi di air.
“Antara latihan yang telah kita jalankan ialah dari segi pengukuhan menyelamat di air di kolam renang Sarikei melibatkan seramai 36 orang anggota BBP Sarikei.
“Selain itu juga, kami (bomba) mengadakan latihan kepada agensi-agensi di Daerah Sarikei menerusi kerjasama agensi Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Unit Kecemasan dan Trauma (ETD) Hospital Sarikei yang diadakan di kolam renang Sarikei pada Ogos lalu.
“Latihan ini bertujuan membantu barisan hadapan agar berkeyakinan dalam menyelamat dalam apa juga situasi,” katanya.
Tambahnya, turut diadakan adalah latihan teknik Cardiopulmonary Resuscitation (CPR) agar mereka dapat memberi tindakan awal kepada mangsa yang memerlukan rawatan segera semasa berlaku kecemasan.
Berkenaan rancangan logistik bagi memastikan bantuan dapat dihantar ke kawasan terjejas MTL dengan cepat, katanya, pihaknya telah mengenal pasti kawasan-kawasan rendah berisiko berlakunya banjir kilat dan menyebabkan kawasan tersebut ditengelami air sekiranya menerima hujan berterusan.
“Bagi tindakan tersebut, seperti di contoh lokasi rendah seperti kawasan Bayong, kita mempunyai Pasukan Bomba Sukarela (PBS) yang aktif membantu bagi memberi respons awal ke kawasan kejadian yang memerlukan penyelamatan segera.
“Jadi pasukan tersebut kita telah aktifkan bagi turut memberi respons penyelamatan dalam kesiapsiagaan menghadapi MTL.
“Selain itu juga, logistik kita berada dalam keadaan baik dan berfungsi serta boleh di turunkan segera seperti bot ke lokasi yang memerlukan penyelamatan mangsa-mangsa banjir di lokasi yang hanya boleh diakses dengan menggunakan bot,” katanya.
Mengulas soalan berkenaan kerjasama dengan agensi-agensi lain bagi memastikan tindakan yang diambil bersifat menyeluruh dan bersepadu, katanya, selain menjalankan latihan bersama, pihaknya juga berkongsi maklumat kawasan-kawasan yang dikenal pasti berpotensi terjejas dengan MTL agar pasukan menyelamat boleh digerakkan segera ke kawasan kejadian.
“Selain itu, kita sentiasa kongsikan kepada masyarakat awam dengan mengadakan turun padang ke lokasi-lokasi untuk mengadakan ceramah berkaitan persediaan menghadapi bencana banjir supaya mereka boleh bersiap sedia dengan lebih awal dalam menghadapi sebarang bencana,” katanya lagi.
Katanya, pihaknya juga sentiasa berada dalam keadaan bersiap siaga dari segi aset dan logistik bagi menghadapi sebarang insiden serta bencana yang sebarang kemungkinan terjadi di kawasan jagaan BBP Sarikei.
“Ia juga meliputi segala aset dan logistik BBP Sarikei berada dalam keadaan baik dan berfungi serta boleh digerakkan pada bila-bila masa,” tambahnya.
Dalam pada itu, katanya, terdapat tujuh kawasan rendah berisiko banjir dikenal pasti oleh pihaknya di kawasan jagaan BBP Sarikei.
“Tujuh kawasan ini adalah Kampung Baji, Bayong, Kampung Seberang, Jalan Repok/Meranti, Sungai Mugu, Kim San dan Sare yang terdapat lokasi-lokasi rendah berpotensi banjir kilat sekiranya menerima hujan berterusan,” katanya.
Justeru, beliau menasihatkan penduduk-penduduk yang mendiami kawasan rendah berisiko banjir agar menghubungi pihaknya sekiranya memerlukan bantuan segera untuk berpindah ke kawasan selamat dan sentiasa memastikan anak-anak kecil mereka tidak bermain air di kawasan yang dinaiki air.
Oleh Earl Anek