KUCHING: Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Lee Khim Shin berpuas hati dengan penyambungan semula operasi percubaan perkhidmatan bas hidrogen di Bandar raya Kuching dan menyaran agar orang ramai memanfaatkan perkhidmatan bas percuma ini.
Beliau berkata, bas itu masih berada dalam keadaan sempurna dan serupa dengan apa yang diterima sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Beliau berkata demikian ketika mengambil bahagian dalam sesi perjalanan yang menggunakan laluan ‘Downtown Heritage Loop’ pada 3 September lalu.
Turut hadir, Setiausaha Tetap Kementerian Pengangkutan Sarawak (MOTS), Buckland Bangik dan kakitangan pengurusan kanan dari Sarawak Metro Sdn. Bhd. iaitu anak syarikat Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC).
Menurut Lee, tempoh operasi percubaan adalah penting bagi pengilang bas dan juga Kerajaan Negeri untuk mengumpul data sebagai persiapan untuk pelan pengangkutan awam masa depan di Sarawak termasuk cadangan penggunaan hidrogen bas bagi sistem Automated Sistem Rapid Transit (ART).
Beliau turut memuji Sarawak Metro Sdn. Bhd. yang merupakan anak syarikat milik penuh SEDC dalam menguruskan operasi percubaan perkhidmatan bas hidrogen di sekitar bandar raya ini.
“Sementara itu, penyambungan semula perkhidmatan dilakukan bersesuaian dengan arahan prosedur operasi standard (SOP) termasuk pengimbasan suhu penumpang sebelum mereka menaiki kenderaan.
“Bahagian dalam bas juga kerap dibersih secara berkala pada setiap akhir perjalanan sepanjang tempoh operasi percubaan yang berjalan bermula 8.00 pagi hingga 6.30 petang setiap hari kecuali Sabtu dan Ahad.
“Buat masa ini, para penumpang boleh menggunakan laluan “Downtown Heritage Loop” yang berlepas dari perhentian bas di hadapan Riverside Majestic Hotel,” jelasnya.
Sementara itu, dalam siri perbincangan diadakan antara Sarawak Metro dan syarikat pengeluar bas, Foshan Feichi Automobile Manufacture Co., Ltd (Feichi) yang berpusat di China telah berakhir dengan persetujuan bahawa juruteknik tempatan akan melakukan kerja penyelenggaraan berjadual yang diperlukan di dalam bas, sesuai dengan spesifikasi yang diperlukan sambil memastikan jaminan untuk kenderaan akan tetap dijaga.
Sepanjang tempoh PKP dan akibat dari sekatan perjalanan warga asing ke Sarawak, pihak Feichi bersetuju untuk membantu juruteknik tempatan melalui sesi latihan maya dan juga melakukan penyelenggaraan melalui dalam talian.
“Ini adalah sebahagian daripada usaha proaktif untuk memastikan bas tersebut kembali diguna untuk meneruskan tempoh percubaan operasi, walaupun terdapat banyak cabaran yang dihadapi kerana Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) telah dilanjut sehingga 31 Disember depan termasuk batasan perjalanan bagi warga asing ke Sarawak.
“Kenderaan tersebut juga telah melalui semua pemeriksaan yang diperlukan dan mendapat kelulusan dari beberapa agensi kerajaan termasuk Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan PUSPAKOM,” ujarnya.