KUCHING: Anak jati Sarawak dari Kuching, Elwyn Jung mengharumkan nama negeri dan negara apabila menerima pencalonan berprestij di peringkat antarabangsa menerusi lakonan utamanya dalam karya teater fizikal asli Huai An Dream pada Festival Teater Avignon di Perancis.
Elwyn turut mencatat sejarah sebagai satu-satunya pelajar dari Sarawak yang diterima masuk ke Akademi Pusat Drama China dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Akademi berkenaan merupakan institusi terkemuka China dalam bidang seni teater, filem dan televisyen yang memiliki warisan seni selama hampir satu abad serta diiktiraf antara sekolah seni persembahan paling berprestij di dunia kerana telah melahirkan ramai tokoh teater dan layar perak bertaraf antarabangsa.
Pada musim panas tahun ini, beliau berangkat ke Perancis bersama tenaga pengajar daripada Jabatan Pengarahan Akademi Pusat Drama China untuk membintangi karya teater fizikal asli Huai An Dream sebagai pelakon utama di Festival Teater Avignon, yang merupakan antara tiga festival teater terbesar di dunia.
Karya tersebut diadaptasi daripada kisah klasik sastera China purba The Governor of Nan Ke dan menampilkan keindahan estetika Timur menerusi pendekatan teater fizikal.

Karya berkenaan ditulis dan diarahkan oleh Lai Xueyang, manakala pengarah seni ialah Zhao Miao, yang terkenal dalam bidang teater fizikal di China. Reka bentuk pentas dan visual dihasilkan oleh Wang Chenbin, manakala barisan pelakon turut dibarisi Huang Tiange, Liu Xinyu dan Dou Baiyi.
Lebih membanggakan, Huai An Dream berjaya memperoleh pencalonan bagi kategori Produksi Baharu Terbaik dalam Anugerah Prix Lueur Avignon di Perancis selepas menewaskan lebih 500 penyertaan dari seluruh dunia.
Persaingan bagi anugerah itu disifatkan amat sengit apabila lebih 500 produksi berkualiti dari pelbagai benua mengambil bahagian.
Panel juri terdiri daripada sarjana teater, pengarah profesional, pengkritik seni dan pakar industri dari enam negara iaitu Perancis, United Kingdom, Switzerland, Itali, China dan Korea Selatan, sekali gus menjadikan anugerah tersebut antara pengiktirafan yang dihormati dalam industri teater antarabangsa.
Elwyn berkata, peluang mewakili suara generasi muda Sarawak dan Malaysia di pentas festival teater bertaraf dunia serta menerima pencalonan anugerah antarabangsa merupakan satu penghormatan besar dan pengalaman yang amat bermakna buat dirinya.

“Saya berharap dapat memanfaatkan segala ilmu dan pengalaman yang diperoleh untuk membawa kisah tempatan, kepelbagaian budaya serta keunikan nilai kemanusiaan Malaysia dan Sarawak ke lebih banyak pentas antarabangsa agar dapat dikongsi dengan masyarakat dunia.
“Saya juga berharap dapat menjadi jambatan budaya yang menghubungkan Malaysia, China dan negara-negara lain melalui bidang seni.
“Saya berharap lebih ramai masyarakat antarabangsa dapat mengenali serta menghargai keindahan Sarawak dan Malaysia, selain menyokong budaya tempatan agar terus menyerlah di pentas dunia,” katanya.





