
SARATOK: Anak-anak adalah merupakan permata dan aset penting untuk memastikan Sarawak terus maju dan makmur di masa depan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata generasi muda merupakan aset masa depan memandangkan bakat dan kemahiran yang dimiliki mereka akan memangkin kemajuan Sarawak.
“Anak-anak muda adalah modal insan yang amat bermakna kerana mereka adalah pemimpin pelapis pada masa hadapan untuk membangunkan negeri ini. Sebab itu, pendidikan bukan sahaja penting malah menjadi asas dalam pembentukan sebuah masyarakat yang bertamadun.
“Anak-anak muda kita perlulah bersedia untuk mencabar keupayaan sendiri dan berusaha di luar kemampuan supaya cita-cita yang diimpikan tercapai.
“Dalam dunia masa kini yang makin mencabar, anak-anak perlulah berjiwa besar dan mempunyai lingkungan perspektif yang meluas dan akal budi yang waras untuk membuat sebarang pertimbangan hala tuju kehidupan diri, bangsa dan negara,” katanya dalam satu kenyataan kepada media semalam.
Beliau berkata, kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang di bawah pimpinan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah menyediakan banyak kemudahan untuk anak-anak Sarawak meneruskan pelajaran dan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.
“Dalam Belanjawan 2025 yang dibentangkan oleh Abang Johari tahun lalu, beliau telah memastikan anak-anak Sarawak dapat dibantu untuk meneruskan pengajian mereka dengan selesa di universiti tidak mengira di lnstitusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) atau lnstitusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS).
“Penuntut universiti turut menerima bantuan kewangan khas untuk pelajar yang berasal dari Sarawak yang sedang melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi (IPT) di seluruh Malaysia dalam bentuk wang saku sebanyak RM1,200 melalui e-dompet S-Pay Global untuk setiap pelajar.
“Bantuan yang diperkenalkan oleh kerajaan Sarawak ini tidak terdapat di negeri lain dan hanya Sarawak sahaja berbuat demikian,” ujarnya.
Tambah beliau, beliau juga mengumumkan dasar pendidikan percuma di institut pendidikan milik kerajaan Sarawak seperti Universiti Teknologi Swinburne, Universiti Curtin, Universiti Teknologi Sarawak (UTS), Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) dan sebagainya yang bermula tahun depan.
“Saya berharap agar ibubapa terutamanya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kalaka mengambil kesempatan serta merebut peluang masuk ke institusi milik Sarawak ini kerana pendidikan percuma ini disediakan bermula pada tahun depan.
“Pendidikan percuma yang akan dilaksanakan nanti, pastinya adalah peluang bagi pelajar melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi dan kita tumpukan kepada anak-anak Sarawak untuk melanjutkan pelajaran di universiti milik kerajaan Sarawak sendiri,” katanya.
Mohamad Duri berkata, memperoleh keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) adalah sangat penting bagi meneruskan cita-cita untuk menuntut ilmu di peringkat yang lebih tinggi.
Tegas beliau lagi, kerana keputusan peperiksaan SPM dan STPM yang diperoleh adalah tiket yang akan melayakkan seseorang pelajar untuk memasuki universiti, iaitu sebuah tempat yang menjadi cita-cita kita semua sejak mula melangkah ke alam persekolahan.
Oleh Adi Safarman