112 belia DUN Kabong terima bakul makanan Saberkas Prihatin

Facebook
WhatsApp
DATO Mohd Chee Kadir melalukan simbolik penyerahan sumbangan bakul makanan kepada salah seorang penerima Program Saberkas Prihatin anjuran Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (Saberkas) Cawangan Kabong, hari ini. Foto ADUN Kabong

KABONG, 4 Oktober: Seramai 112 belia di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kabong menerima bakul makanan menerusi Program Saberkas Prihatin anjuran Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (Saberkas) Cawangan Kabong, hari ini.

Penyerahan simbolik bantuan disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir, di Pusat Khidmat ADUN N.40 Kabong.

Selepas penyerahan simbolik selesai, Ahli Jawatankuasa Saberkas Cawangan Kabong turut turun padang menyampaikan bakul makanan kepada penerima yang telah dikenal pasti.

Program berkenaan memperlihatkan komitmen Saberkas Cawangan Kabong untuk terus mendekati masyarakat di peringkat akar umbi, khususnya belia yang memerlukan perhatian dan sokongan.

Chee Kadir turut merakamkan penghargaan dan tahniah kepada Saberkas Cawangan Kabong atas penganjuran program berkenaan yang disifatkan sebagai usaha murni dalam menyantuni golongan belia.

Menurut beliau, pendekatan turun padang seperti itu penting bagi memastikan kebajikan belia terus diberi perhatian, selain membuka ruang kepada mereka untuk lebih aktif menyertai kegiatan kemasyarakatan.

SERAMAI 112 penerima daripada golongan belia DUN Kabong menerima bakul makanan menerusi Program Saberkas Prihatin. Foto ADUN Kabong

“Program seperti Saberkas Prihatin bukan sekadar menyampaikan bantuan, tetapi turut mengeratkan hubungan antara pertubuhan belia dengan masyarakat setempat.

“Semangat prihatin, kebersamaan dan saling membantu perlu terus dipupuk agar manfaatnya dapat dirasai bersama,” katanya.

Program tersebut turut memperlihatkan peranan Saberkas bukan sahaja sebagai wadah pembangunan belia, malah sebagai penghubung antara golongan belia dengan masyarakat melalui pelbagai inisiatif kemasyarakatan.

Usaha berkenaan diharap dapat diteruskan secara konsisten pada masa akan datang bagi memperkukuh jaringan kebersamaan serta menyemarakkan budaya prihatin dalam kalangan masyarakat di kawasan DUN Kabong.

Turut hadir Penghulu Sani Mohamad, Penghulu Kamaluddin Rambli, Pengerusi Saberkas Cawangan Kabong, Mohamad Firdaus Shamsuddin serta Ahli Jawatankuasa Saberkas Cawangan Kabong.

Oleh Adi Safarman