

KUCHING: Seramai 200 kanak-kanak kurang berkemampuan menerima pakaian Raya baharu menerusi Program Sinar Syawal Yayasan Kebajikan Negara Malaysia (YKN) 2025 di Pasar Raya Mydin Vista Tunku, hari ini.
Program ini ditaja oleh Alliance Islamic Bank Berhad dan disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merangkap Pengerusi YKN, Dato’ Sri Nancy Shukri.
Ketika berucap pada majlis tersebut, beliau menzahirkan penghargaan atas usaha pihak bank dalam membantu kanak-kanak yang kurang berkemampuan bagi memastikan mereka turut merasai kemeriahan Aidilfitri.
“Inisiatif ini bukan sahaja meringankan beban keluarga, tetapi juga memastikan anak-anak dapat merasai kemeriahan Syawal.
Selain itu, inisiatif seperti ini juga melambangkan semangat keprihatinan masyarakat yang sentiasa mengambil berat akan keperluan golongan yang memerlukan,” katanya.
Sebanyak 150 kanak-kanak menerima pakaian Raya di Pasar Raya Mydin Vista Tunku, manakala 50 lagi menerima sumbangan di Lundu, semalam.
Selain itu, Alliance Islamic Bank turut menaja duit Raya untuk 200 kanak-kanak dalam program berasingan minggu hadapan.
Menjelas lanjut, beliau turut mengajak lebih banyak syarikat korporat menyokong program kebajikan melalui tanggungjawab sosial korporat (CSR) bersama YKN.
Sumbangan tunai kepada YKN layak mendapat pengecualian cukai pendapatan.
“Aidilfitri adalah masa untuk berkongsi rezeki. Semoga program ini menjadi inspirasi kepada lebih banyak inisiatif kebajikan,” tambahnya.
Dalam pada itu, YKN berharap usaha seperti ini dapat diteruskan bagi membantu lebih ramai golongan yang memerlukan.
OLEH RYNNA SHA’ERRA