SIBU: Kejayaan alumni sekolah menjadi sumber inspirasi bagi generasi kini dan masa depan, sekali gus membuktikan bahawa pendidikan adalah kunci utama untuk meraih kejayaan.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato Sri Tiong King Sing, berkata alumni memainkan peranan yang amat penting sebagai teladan kepada pelajar masa kini, dengan menunjukkan bahawa pencapaian di sekolah membuka peluang untuk kejayaan yang lebih besar pada masa depan.
“Teruskan meraih kejayaan dalam bidang masing-masing. Setiap pencapaian anda adalah kebanggaan kita semua dan memberikan inspirasi kepada orang lain,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Joshua Ting Fu Ying, pada Majlis Makan Malam Kelab Alumni SMK Sibu Jaya, malam tadi.
Tiong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong menekankan bahawa pendidikan adalah sangat penting dalam membina masa depan anak-anak.
Menurutnya, sekolah adalah aset penting dalam masyarakat kerana ia bukan sahaja melahirkan pelajar cemerlang dalam akademik dan kokurikulum, tetapi juga membentuk sahsiah yang kukuh.
“Sebagai contoh, SMK Sibu Jaya bukan sekadar sebuah institusi pendidikan, tetapi juga tempat di mana banyak individu berjaya dilahirkan, bakat digilap, dan masa depan cerah dibentuk,” katanya.
Di samping itu, Tiong turut komited untuk terus menyokong usaha meningkatkan kualiti pendidikan dan infrastruktur sekolah di kawasan tersebut.
Pada majlis itu, Tiong turut memperuntukkan dana sebanyak RM10,000 untuk kegunaan Kelab Alumni SMK Sibu Jaya.
Sementara itu, Pengerusi kelab, Gibson Tommy berkata, dana tersebut akan digunakan sebaik mungkin untuk menyokong aktiviti kelab dan program-program yang memberi manfaat kepada pelajar di sekolah.
Oleh TARANI LANTING