KUCHING: Pihak Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) akan meneruskan kajian dan rundingan supaya Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 dapat dikuatkuasakan di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, diharapkan akta itu akan diperluaskan ke Sarawak dan Sabah suatu hari nanti.
“ Ini kerana, semua perniagaan yang berdaftar di Sabah dan Sarawak adalah di bawah bidang kuasa negeri masing-masing.
“Kami sedang mengusahakannya dengan beberapa perbincangan sedang dibuat supaya akta itu boleh digunakan di Sarawak kerana ia bukan sahaja untuk SSM menambah baik perkhidmatan mereka tetapi juga untuk manfaat komuniti perniagaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan bangunan pejabat baharu SSM Sarawak di Bangunan City Square, Jalan Pending, di sini hari ini.
Perniagaan yang berdaftar di bawah akta tersebut bersama SSM boleh menikmati pelbagai faedah seperti pendaftaran mudah, pemilik mempunyai kawalan penuh, kos lebih rendah, tidak memerlukan pemfailan penyata kewangan dan bantuan kewangan dari Kerajaan Persekutuan.
Nanta berkata, semua entiti maklumat perniagaan dalam pangkalan data SSM sangat berguna apabila ia membabit isu undang-undang di mana pengguna boleh mengenal pasti kesahihan dan kewujudan perniagaan untuk mengurangkan kes penipuan serta membina keyakinan pengguna dalam melakukan perniagaan.
“Sebab mengapa akta itu tidak dilaksanakan di kedua-dua negeri ini sejak awal kerana ia adalah warisan yang diwarisi sejak dahulu.
“Tiada isu dalam perkara ini. Ia telah diwarisi sebagai aspek sejarah tetapi bergerak ke hadapan, adalah baik untuk Sabah dan Sarawak mengambil serius akta ini. Mereka tidak perlu bimbang kehilangan kuasa berhubung pendaftaran syarikat kerana ini boleh diperhalusi dan dibincangkan oleh semua pihak yang terlibat,” katanya.
Bagaimanapun, beliau percaya SSM akan terus mengkaji dan berunding supaya akta itu dikuatkuasakan di seluruh negara.
“Semoga usaha ini membolehkan usahawan di kedua-dua negeri ini menikmati semua kelebihan mendaftarkan perniagaan di SSM terutamanya pendaftaran ini akan menyebabkan entiti perniagaan mereka disenaraikan di dalam pengkalan data SSM, yang boleh diakses oleh sesiapa sahaja, pada bila-bila masa, di seluruh dunia.
“ Maklumat entiti-entiti perniagaan di dalam pengkalan data SSM adalah sangat penting bagi para peniaga mengembangkan jenama perniagaan sebagai entiti perniagaan yang sah di sisi undang-undang, memudahkan pengguna mengenalpasti kesahihan dan kewujudan entiti perniagaan serta membina keyakinan pengguna dalam berurus niaga selain mengurangkan kes penipuan,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Menteri di Pejabat Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak) yang juga bekas Anggota SSM, Datuk Abdullah Saidol berkata,
Kerajaan Sarawak telah menerima cadangan penyatuan Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 daripada SSM.
“ Akta itu pada masa ini tidak dikuatkuasakan di Sarawak.
“Kita perlu berhati-hati dengan penyatuan ini kerana ia adalah mengenai melindungi hak dan kepentingan Sarawak tetapi pada masa sama kita juga harus melihat kepentingan komuniti perniagaan. Peguam negara kita sedang menelitinya,” katanya.
Oleh NUR AIN OTSMAN