
LAWAS: Syarikat penerbangan AirBorneo, milik Sarawak merupakan harapan baharu untuk usahawan wanita luar bandar melebarkan pengedaran produk hasil desa ke bandar-bandar utama Sarawak.
Ketua Wanita PBB Cawangan Ba’kelalan Josephine Henry Sum memberitahu bahawa harapan utama pengguna perkhidmatan syarikat penerbangan luar bandar (RAS) adalah kadar tambang yang lebih rendah dan kekerapan jumlah penerbangan ke luar bandar.
“Kita harap AirBorneo mampu menyediakan kadar tambang lebih murah dan kekerapan penerbangan kerana setakat ini, jumlah penerbangan adalah terhad untuk destinasi luar bandar.
Memang ramai hairan kenapa cuma ada sepuluh orang penumpang atau kurang dalam setiap penerbangan ke luar bandar dengan pesawat Twin Otter.
Sedangkan hakikatnya ialah setiap penerbangan itu bergantung jumlah berat kargo serta bukan bergantung sepenuhnya jumlah penumpang,”katanya ketika dihubungi Utusan Sarawak, hari ini.
Josephine yang kini berada di Kuching untuk menghadiri Konvensyen Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) ke-16 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) turut berharap kadar penerbangan yang lebih kerap, membolehkan usahawan wanita di luar bandar membawa lebih banyak produk tanaman segar ke pasaran besar di bandar-bandar utama.
Ini disebabkan pasaran di kampung atau daerah Lawas itu sukar untuk ditingkatkan lagi kerana jumlah pelanggan yang terhad dan kuasa beli yang kurang berbanding bandar besar.
Pada masa sama, kekerapan jumlah penerbangan dan kadar tambang murah akan memudahkan pergerakan warga emas ke luar bandar dengan lebih selesa dan selamat.
“AirBorneo ini juga harapan warga emas mengembara ke luar daripada kampung bersama anak-anak kerana tidak perlu melalui jalan balak yang memakan masa sehari suntuk, menyakitkan badan dan merbahaya ketika hujan,” ujarnya.
Josephine mengakui bahawa semua yang dinikmati seperti pemilikan syarikat penerbangan Sarawak, perbankan Sarawak dan lainnya merupakan rahmat kepada rakyat Sarawak yang bijak memilih kerajaan GPS pimpinan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Abang Openg dan pasukan beliau.
“Semua kita rakyat Sarawak patut berterima kasih dan bersyukur kerana memiliki kepimpinan berwawasan, bijak dan berani bersuara untuk Sarawak.
“Jadi usah peduli politik lain yang cuba mengugat kestabilan politik sedia ada, menanam bibit memecah keharmonian serta perpaduan erat antara kaum, sebaliknya semua kita wajib menyokong satu kerajaan sahaja iaitu GPS pimpinan Abang Jo kita,” tambahnya.
Oleh Adeng Edrus