KUCHING: Polis sedang menyiasat secara menyeluruh semua aspek berkaitan nahas helikopter di Long Lellang, termasuk lokasi terakhir pesawat berkenaan mengisi minyak sebelum kejadian.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata, siasatan turut meliputi perjalanan helikopter berkenaan sejak berlepas dari Miri sehingga ke beberapa lokasi persinggahan sebelum menuju ke Long Lellang.
Katanya, polis setakat ini sudah merakam keterangan daripada 19 saksi dan dijangka memanggil beberapa lagi individu bagi membantu melengkapkan siasatan.
“Kita masih lagi dalam proses untuk merakam beberapa keterangan lagi, termasuk tempat di mana helikopter itu mengisi minyak.
“Di situ juga penting untuk kita lihat sama ada terdapat apa-apa perkara yang boleh membantu dari sudut lain yang mungkin boleh menyebabkan helikopter tersebut terhempas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri makan malam bersama pengamal media dan kepimpinan tertinggi Polis Sarawak di Kuching, malam ini.
Menurutnya, polis perlu meneliti setiap lokasi dan pergerakan helikopter berkenaan bagi mengenal pasti sekiranya terdapat sebarang perkara di luar kebiasaan yang boleh membantu siasatan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan setakat ini tiada petunjuk yang menunjukkan wujud unsur lain selain kemalangan.
“Jangan buat andaian atau spekulasi sehinggalah kita dapat menyelesaikan siasatan kita,” katanya.
Beliau berkata, siasatan polis dijalankan di bawah siasatan mati mengejut, namun faktor-faktor lain turut diambil kira bagi memastikan siasatan dapat dilengkapkan secara menyeluruh.

Katanya, siasatan teknikal berkaitan punca nahas pula adalah di bawah tanggungjawab Biro Siasatan Kemalangan Udara, dengan PDRM sedia memberikan bantuan sekiranya diperlukan.
Mengulas sama ada helikopter berkenaan sempat melakukan pendaratan ketika kejadian, beliau berkata, berdasarkan keadaan di lokasi, juruterbang dipercayai sudah sedaya upaya cuba mendaratkan helikopter berkenaan.
“Saya percaya kapten tersebut ataupun juruterbang tersebut sudah sedaya upaya untuk mendaratkan helikopter tersebut sebab dia betul-betul berada di hujung landasan.
“Memang dia ada kecenderungan di situ untuk menyelamatkan,” katanya.
Beliau berkata, keadaan itu juga sedikit sebanyak memudahkan operasi menyelamat mangsa.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan semua jasad mangsa telah selamat dituntut oleh keluarga.
Mengenai tempoh siasatan, beliau berkata ia bergantung kepada jumlah keterangan tambahan yang perlu dirakam serta lokasi yang perlu dikunjungi semula oleh pasukan penyiasat.
“Kita akan menyiapkannya secepat yang mungkin kerana ini bukan insiden pertama yang PDRM biasa menyiasat. Kita sudah mempunyai pengalaman dan insya-Allah kita akan buat yang terbaik,” katanya.
Sementara itu, pada majlis makan malam berkenaan, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada pengamal media Sarawak atas kerjasama dalam menyalurkan maklumat berkaitan keselamatan dan kejayaan PDRM kepada masyarakat.
Beliau berharap kerjasama antara media, Ketua Polis Daerah dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak terus diperkukuhkan, khususnya dalam memastikan maklumat berkaitan kejayaan serta usaha PDRM bersama masyarakat dapat disampaikan kepada orang ramai.
Beliau turut menggalakkan Ketua Polis Daerah tampil memberikan maklumat kepada media bagi membolehkan masyarakat mengetahui perkembangan semasa berkaitan tugas dan kejayaan pasukan keselamatan itu.
Oleh Afiq Sallehi




