KUCHING: Proses penambahan kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak perlu dipermudah dan dipercepatkan supaya pengalaman penambahan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang mengambil masa panjang tidak berulang.
Menurut Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee, berdasarkan kedudukan dan sumbangan Sarawak kepada Persekutuan, sudah sewajarnya Sarawak mempunyai perkongsian kuasa politik yang lebih bermakna dalam menentukan dasar dan hala tuju negara.
“Ini bukan sekadar soal menambah kerusi. Ini soal memastikan suara Sarawak mempunyai kekuatan yang sewajarnya dalam menentukan masa depan Malaysia,” katanya ketika dihubungi pemberita Utusan Sarawak.
Tambah beliau, Sarawak hari ini bukan lagi Sarawak seperti beberapa dekad lalu.
“Kita mempunyai kekuatan ekonomi, sumber asli yang besar serta semakin ramai bakat tempatan yang berkeupayaan mentadbir dan mempertahankan kepentingan negeri.
“Aspirasi untuk mencapai satu pertiga perwakilan Parlimen bagi Sabah dan Sarawak harus kekal,” jelasnya.
Beliau berkata Sabah dan Sarawak memahami bahawa perkara itu memerlukan proses yang tertib serta mematuhi kerangka Perlembagaan.
“Oleh itu, peningkatan nisbah yang dicadangkan harus dilihat sebagai langkah penting ke arah tersebut, bukannya noktah kepada aspirasi satu pertiga.
“Apa yang penting sekarang ialah Kerajaan Persekutuan memperincikan jumlah kerusi, nisbah yang bakal dicapai dan garis masa pelaksanaannya.
“Proses ini juga perlu dipermudah dan dipercepatkan. Kita tidak mahu pengalaman penambahan kerusi DUN Sarawak yang mengambil masa panjang berulang,” ujarnya.
Beliau turut menyambut baik pengumuman Perdana Menteri mengenai usaha meningkatkan nisbah kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak.
“Penekanan kepada nisbah perwakilan, bukan sekadar penambahan jumlah kerusi, merupakan satu pengiktirafan penting terhadap semangat pembentukan Malaysia dan aspirasi MA63,” tegasnya.
Untuk rekod, kenyataan itu dibuat susulan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 11 September 2026 bahawa kerajaan bersetuju meningkatkan nisbah perwakilan kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak, dengan jumlah serta mekanisme penambahan akan diperincikan melalui proses yang ditetapkan.
Usaha itu berkait dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), termasuk kedudukan Sabah dan Sarawak dalam pembentukan Malaysia.
Oleh Masrin Affirah





