KOTA SAMARAHAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stakan, Datuk Hamzah Brahim hari ini menyantuni mangsa kebakaran rumah, Jonathan Baling di Kampung Sungai Empit Kota Samarahan.
Kebakaran yang berlaku sekitar pukul 4.20 petang semalam mengakibatkan hampir keseluruhan rumah yang dihuni oleh sembilan ahli keluarga musnah dijilat api.
Hamzah melalui Pusat Khidmat ADUN N17 Stakan menyampaikan sumbangan wang tunai dan keperluan asas kepada mangsa bagi meringankan beban mereka.
Beliau juga berjanji akan membantu menyumbang dana untuk mangsa mendirikan rumah semula.
Turut hadir, Ketua Kaum Kampung Sungai Empit KK Danial Bas Kaus,Pengerusi Ranting PBB Kampung Merdang Lumut, Rabin Anthony dan Wilson Jabley Saing.
Oleh NUR AIN OTSMAN