SIMANGGANG, 26 Oktober: Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak, Datuk Dr. Annuar Rapa’ee, menegaskan bahawa sokongan akar umbi merupakan asas kekuatan parti.
Beliau berkata, kekuatan sesebuah organisasi bermula daripada akar umbi yang kukuh, disokong oleh kesepaduan, komitmen dan penglibatan ahli di setiap peringkat.
Dalam ucapan merasmikan Program Sarawak Kita Empun (SKE) anjuran PBB Cawangan Lingga bersama PBB Cawangan Bukit Begunan dan PBB Cawangan Simanggang di sini semalam, beliau turut menekankan kepentingan golongan belia memahami sejarah penubuhan dan perkembangan PBB Sarawak.
“Dengan memahami sejarah parti, belia akan lebih mengenali perjuangan PBB serta menghargai sumbangan generasi terdahulu dalam membentuk perjalanan parti hingga ke hari ini,” katanya.
Sementara itu, Penyandang Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor, menyeru ahli supaya terus memberikan sokongan kepada sesiapa sahaja calon yang bakal dipilih oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau turut meminta ahli terus menyokong Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam meneruskan agenda pembangunan Sarawak yang merangkumi pelbagai lapisan masyarakat.
Dayang Noorazah juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh ahli PBB atas tunjuk ajar, bimbingan dan sokongan sepanjang perjalanan beliau bersama parti.
Menurutnya, semangat kebersamaan itu amat bermakna dalam memperkukuh hubungan sesama ahli serta meneruskan perjuangan demi rakyat dan Sarawak.
Program SKE dan Persediaan Pilihan Raya PBB bagi ketiga-tiga cawangan itu pada sesi pagi memberi tumpuan kepada inisiatif kerajaan Sarawak serta pemantapan struktur dan peranan jentera.
Slot pertama mengenai Inisiatif GPS disampaikan oleh Natasha Nasa Douglas Uggah, manakala slot kedua berkaitan Pemantapan Struktur dan Peranan Jentera disampaikan oleh Sulhie Salleh.
Pengisian tersebut memberi ruang kepada peserta memahami inisiatif GPS dengan lebih mendalam, di samping memperkukuh penyelarasan organisasi dan kesiapsiagaan jentera dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing.
Pada sebelah petang, program diteruskan dengan pengisian mengenai persediaan pilihan raya serta peranan dan tanggungjawab Petugas Ejen Mengundi dan Ejen Mengira (PACA).
Kedua-dua slot disampaikan oleh Datu Takun Sunggah, yang berkongsi penerangan tentang persediaan menghadapi pilihan raya serta kepentingan memahami peranan dan tanggungjawab petugas bagi memastikan kelancaran pelaksanaan tugas.
Oleh Adi Safarman




