Penulis semula sejarah Sarawak: Dari mana bermula?

Facebook
WhatsApp

CADANGAN untuk menulis sejarah Sarawak sebelum era Brooke merupakan satu usaha yang baik dan wajar diberikan perhatian. Ini kerana kita perlu melihat semula penulisan sejarah Sarawak agar ia ditulis berdasarkan dari kaca mata tempatan.

Sebelum ini tulisan-tulisan tentang Sarawak condong membahagikan sejarah Sarawak dengan orang Barat sebagai tertinggi (superior) dan masyarakat tempat sebagai rendah (inferior). 

Ramai penulis zaman Brooke seperti S. Baring-Gould, C. A. Bampfylde, Henry Keppel, Rodney Mundy, Frank S. Marryat, Alfred Russel Wallace, James Brooke dan Hugh Low memberi konatasi negatif kepada penduduk Sarawak. 

Malah, Frank S. Marryat dalam bukunya Borneo and the Indian Archipelago: With Drawings of Costume and Scenery(1848) menggambarkan James Brooke sebagai tokoh yang berusaha melaksanakan misi ‘mentamadunkan’ masyarakat yang dianggapnya barbarous (tidak bertamadun).

Gambaran ini memperlihatkan bagaimana usaha membawa ketamadunan digunakan untuk menonjolkan peranan orang Barat sebagai pembawa kemajuan kepada masyarakat bukan Barat.

Pemikiran sedemikian turut tergambar dalam puisi Rudyard Kipling, The White Man’s Burden (1899), yang diterbitkan dalam konteks peluasan pengaruh Amerika Syarikat ke Filipina selepas Perang Sepanyol-Amerika.

Puisi tersebut mengemukakan gagasan bahawa kuasa Barat memikul tanggungjawab untuk mentamadunkan bangsa lain, sekali gus mencerminkan pemikiran imperialisme yang dikenali sebagai Beban Orang Putih (The White Man’s Burden).

Puisi ini pertama kali diterbitkan dalam akhbar The New York Sun pada 1 Februari 1899 dan The Times (London) pada 4 Februari 1899.

Apa yang boleh dikatakan dalam penulisan-penulisan orang Barat ini adalah masyarakat Sarawak ketika itu digambarkan tidak mempunyai tamadun. Kehidupan mereka juga satu kehidupan liar dan terlibat dengan aktiviti perompakan, pemerasan dan perlanunan. Malah pemimpin mereka pula digambarkan sebagai kejam dan zalim ke atas kaum lain.

Persoalan

Adakah perkara ini adalah benar? Atau hanya mengjustifikasi tindakan orang Barat terutama Brooke dalam menguasai Sarawak. Jika ditinjau tulisan-tulisan orang Barat sezaman dengan zaman Brooke juga menunjukan Brooke melakukan perkara yang kejam ke atas penduduk Sarawak seperti membakar rumah panjang dan memusnahkan tanaman penduduk tempatan yang dikatakan bersimpati dengan penentang beliau.

Oleh itu perlu ditulis semua sejarah Sarawak ini agar ia lebih seimbang dan tidak menunjukkan bahawa Sarawak tiada bertamadun langsung. Saranan penulisan zaman sebelum Brooke ini juga akan memberi satu interpretasi tentang sejarah Sarawak yang berlainan dengan apa yang dinyatakan oleh sarjana Barat ini. 

Namun timbul persoalannya dimana kita akan bermula menulis tentang sejarah Sarawak sebelum Brooke. Ini kerana terdapat beberapa catatan orang asing, manuskrip lama, sumber lisan dan bukti arkeologi memberi satu pandangan berbeza-beza, seolah-oleh keping jigsaw yang masih lagi belum lengkap.

Mula

Jika kita melihat sejarah peradaban dunia seperti Yunani ia dikesan pertamanya menerusi bukti-bukti arkeologi dengan jumpaan kompleks istana Knossos, tembikar, lukisan dinding (frescoes), sistem saliran, gudang penyimpanan dan tulisan Linear A.

China dan India pula dengan penemuan kesan-kesan penempatan manusia di Sungai Kuning dan Sungai Indus. 

Dalam hal ini, Sarawak juga mempunyai bukti-bukti arkeologi awal yang membuktikan ada aktiviti dan kehidupan masyarakatnya. Penemuan arkeologi di Santubong, Kalaka, Samarahan dan Saribas membuktikan telah ada peradaban manusia tahap tinggi di Sarawak. 

Penemuan patung Ganesha di Limbang pula membuktikan ada hubungan awal antara Limbang dan dunia luar.  Professor Dr. N. J. Krom dari Universiti Leidin menyatakan kewujudan patung tersebut mungkin sekitar abad ke-6, ke 7. Boleh dikatakan hubungan dagang telah wujud di kawasan-kawasan tersebut.

Kajian ini diteruskan oleh Datu Sanib Said yang menampakkan kewujudan Santubong sebagai pelabuhan penting di Sarawak. Beliau menggunakan bukti-bukti arkeologi dan sumber manuskrip Melayu untuk membuktikan keagongan Santubong sebagai sebuah pelabuhan penting di Sarawak.

Akhirnya beliau menulis dan menerbit buku tentang Santubong yang banyak memberi pandangan baharu tentang sejarah awal Sarawak.

Sumber

Sementara itu, sumber-sumber luar Sarawak pernah memberitahu kewujudan kerajaan-kerajaan awal ini. Sumber dari Kerajaan Mahapahit iaitu Negarakartanegara tulisan Prapanca menyebut kewujudan kerajaan-kerajaan awal di Borneo yang mempunyai persamaan nama dengan tempat dan masyarakat di Sarawak seperti Sawaku, Kalka dan Melano.  

Beberapa lagi nama yang lain boleh dikaitkan dengan Sarawak adalah Samadang, Sedu dan Saludong. 

Walaupun nama-nama ini mempunyai persamaan dan hampir sama dengan tempat-tempat di Sarawak tetapi ia perlu pembuktian lebih dalam tentang kewujudannya dan sejauh manakah ia mempunyai kaitan dengan tempat di Sarawak. 

Seorang lagi sarjana menguatkan bukti kewujudkan kerajaan-kerajaan awal di Sarawak adalah P. L. Amin Sweeney. Dalam tulisan beliau menyatakan penyerahan lima kawasan di Sarawak iaitu Kalaka, Saribas, Samarahan, Serawak dan Mukah kepada kerajaan Brunei.

Sweeney menggunakan sumber manuskrip Silsilah Raja-Raja Berunai koleksi Royal Asiatic Society (RAS Maxwell Malay 123) untuk menyatakan penyerahan kawasan-kawasan tersebut. 

Penulisan beliau yang diterbitkan dalam Journal of the Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society pada 1968 memberikan petunjuk bahawa beberapa kawasan di Sarawak telah mempunyai perkembangan masyarakat dan struktur politik tersendiri sejak zaman awal.

Lisan

Sementara itu, masyarakat tempatan juga mempunyai maklumat tentang masa lepas di Sarawak. Masyarakat Melanau misalnya mempunyai sumber lisan tentang kewujudan lagenda Tugau.

Dalam hal ini timbul persoalan tentang di manakah pusat kerajaan Tugau ini? Penemuan arkeologi di Sungai Retus seperti tembikar memungkin kewujudan kerajaan Tugau di sungai tersebut.

Masyarakat Melanau mempunyai pelbagai versi tentang kewujudan Tugau ini. Dalam hal ini cerita tentang Tugau dikongsi juga oleh sumber dari Brunei yang menyebut Tugau mempunyai wilayah kekuasaan meluas sampai sempadan Brunei hari ini. 

Masyarakat Iban juga mempunyai memori kolektif yang dapat direkodkan sebagai sumber penting untuk melengkapkan penulisan sejarah Sarawak.

Dalam hal ini, Benedict Sandin memainkan peranan penting dalam mengumpulkan dan mendokumentasikan tradisi lisan, salasilah serta naratif sejarah tradisional masyarakat Iban, khususnya berkaitan dengan migrasi mereka dari kawasan Sungai Kapuas di Kalimantan ke Sarawak.

Kesultanan

Satu lagi perlu dilengkapkan dalam penulisan sejarah Sarawak sebelum kedatangan Brooke adalah kemunculan Kesultanan Sarawak yang pertama. 

Kisah Sultan Tengah menjadi Sultan Sarawak satu lagi perkara perlu diambil perhatian dalam memahami awal sejarah Sarawak. Namun pemerintahan beliau yang singkat menimbulkan persoalan kerana tiada apa yang disebut selepas itu. 

Sultan Tengah mempunyai hubungan rapat dengan kerajaan Sambas dan pemergiannya tidak memberi maklumat jelas tentang apa belaku selepas itu. Ada yang mengatakan apabila Radin Suleiman menganti ayahnya, beliau menjadi Sultan Sambas. Apa berlaku di Sarawak selepas itu masih kabur?

Perbincangan singkat ini menunjukkan usaha menulis sejarah Sarawak perlu dimulakan agar kita dapat memahami sejarah Sarawak lebih jelas dan juga membuktikan Sarawak bukan seperti apa yang dinyatakan oleh orang Barat sebagai tidak bertamadun. 

Kepingan jigsaw sejarah yang dipapar ini adalah sebahagian kecil sahaja perkara tentang masa silam Sarawak. Masih banyak lagi sejarah Sarawak dari tempat-tempat lain perlu dikumpul untuk melengkapkan sejarah Sarawak sebelum pemerintahan Brooke.

  • Dr. Suffian Mansor adalah Pensyarah Kanan, Program Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia. 

Mendokumentasi memori kolektif Sarawak

SATU perkara menarik yang berlaku pada minggu lalu ialah perbahasan mengenai Rang Undang-Undang (RUU) Perpustakaan Negeri Sarawak (Pindaan) pada sidang