BAU, 26 Oktober: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau mengadakan majlis serah terima tugas Ketua Bahagian Pengurusan hari ini yang disaksikan Ketua Polis Daerah Bau, Superintenden Mohd Haide A. Rahman.
Majlis itu melibatkan penandatanganan nota serah terima tugas antara Inspektor Chew Cher Shin dengan ASP Luqman Hakim Yusop di bilik mesyuarat IPD Bau.
Mohd Haide berkata, majlis serah terima tugas itu merupakan sebahagian daripada proses pentadbiran jabatan bagi memastikan kesinambungan pengurusan serta kelancaran operasi.
Beliau berharap pertukaran tanggungjawab itu dapat memperkukuh komitmen serta meningkatkan kecekapan pengurusan dan pentadbiran di IPD Bau dalam memberikan perkhidmatan berkualiti kepada masyarakat.
“Kerjasama erat antara pihak polis dengan masyarakat kekal penting bagi memastikan kita terus memberikan perkhidmatan yang berkesan kepada orang ramai,” katanya.




