TANJUNG MANIS, 26 Oktober: Bermula sebagai kumpulan muzik tradisional di Kampung Jerijeh Baru, Sri Gelinang kini semakin mendapat tempat apabila persembahannya bukan sahaja menjadi penyeri majlis di kawasan setempat, malah turut menerima undangan ke Kuching dan Sibu.
Ditubuhkan pada 2020, kumpulan itu terus aktif mempersembahkan muzik tradisional masyarakat Melanau dalam pelbagai acara, termasuk majlis perkahwinan, majlis perasmian dan program berskala besar.
Ketua Kumpulan Sri Gelinang Kampung Jerijeh Baru, Saftuyah Ahmad berkata, penubuhan kumpulan itu membuka peluang kepada anggotanya untuk memperkenalkan muzik tradisional Melanau kepada khalayak yang lebih luas.
Katanya, kumpulan itu pada asalnya mempunyai enam pemain muzik, namun kini hanya lima orang yang masih aktif. Selain itu, kumpulan berkenaan turut mempunyai lima orang penari.
“Kami daripada Kumpulan Sri Gelinang Kampung Jerijeh Baru. Kumpulan ini ditubuhkan pada 2020.
“Pada asalnya, kami mempunyai enam pemain muzik, tetapi sekarang tinggal lima orang sahaja. Kami juga mempunyai lima penari,” katanya ketika ditemui Utusan Sarawak hari ini.
Saftuyah ditemui sebelum kumpulannya mempersembahkan muzik tradisional Melanau bagi menyambut ketibaan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, pada Majlis Pecah Tanah Kilang Spun Pile & Pole di Bandar Baru Tanjung Manis.
Menariknya, kumpulan itu turut mempersembahkan muzik tradisional Melanau khas untuk pembaca Utusan Sarawak.
Menurut Saftuyah, penglibatan Sri Gelinang tidak terhad kepada persembahan di sekitar Kampung Jerijeh Baru, malah turut meliputi pelbagai program di luar kawasan.
“Kami juga sering menerima undangan untuk membuat persembahan di luar kawasan seperti Kuching dan Sibu, terutama semasa majlis perkahwinan atau majlis perasmian.
“Kami juga pernah diundang membuat persembahan sempena Konvensyen Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Kuching,” katanya.
Undangan ke luar kawasan memberi peluang kepada Sri Gelinang memperkenalkan muzik tradisional Melanau kepada khalayak daripada pelbagai latar belakang, sekali gus memperluas pengenalan terhadap seni warisan masyarakat berkenaan.
Penglibatan kumpulan itu dalam majlis rasmi dan acara masyarakat turut memperlihatkan bahawa muzik tradisional masih mempunyai tempat dalam pelbagai kegiatan, termasuk yang melibatkan pemimpin dan masyarakat setempat.
Dalam era hiburan yang semakin dipengaruhi muzik moden, kumpulan kebudayaan di peringkat kampung memainkan peranan penting dalam memastikan seni persembahan tradisional terus dikenali dan tidak terpinggir.
Dengan penglibatan pemain muzik dan penari yang berkongsi minat terhadap warisan budaya, Sri Gelinang terus menyediakan ruang untuk muzik tradisional Melanau dipersembahkan kepada generasi masa kini dan akan datang.
Penglibatan kumpulan dari Kampung Jerijeh Baru itu dalam pelbagai acara, termasuk di luar kawasan, membuktikan bahawa muzik tradisional Melanau masih mempunyai ruang untuk diketengahkan sebagai sebahagian daripada khazanah kebudayaan Sarawak.
Oleh Earl Anek




