Misha Omar bukti pesona, kehebatan vocal kekal utuh

Facebook
WhatsApp
MISHA Omar buktikan pesona dan kehebatan vokal masih utuh selepas 24 tahun dalam industri seni.

PETALING JAYA, 27 Oktober: Mungkin pentasnya tidak sehebat sebuah konsert mega, namun aura dan kehebatan vokal Misha Omar tetap menyerlah menerusi penampilan Aku & Lelaki, sekali gus membuktikan pesona penyanyi bersuara emas itu masih kekal utuh selepas 24 tahun dalam industri seni.

Berjaya memukau peminatnya di JioSpace di sini baru-baru ini, penyanyi yang terkenal dengan suara lantang itu kali ini tampil dengan konsep berbeza, mengangkat peranan figura lelaki yang pernah mencorak denai muzik serta kehidupan peribadinya selain rangkaian lagu popularnya.

Showcase itu pada asalnya dirancang sebagai pembuka tirai konsert mega bersempena dengan ulang tahun ke-25 kerjaya seninya di stadium tahun depan, namun hasrat berkenaan belum dapat direalisasikan berikutan pelbagai acara termasuk Sukan SEA.

Biarpun begitu, persembahan malam itu tetap disajikan dengan kemeriahan bagaikan sebuah konsert penuh walaupun diadakan dalam skala kecil.

Misha atau nama sebenarnya Samihah @ Aishah Omar yang  tampil anggun dalam persalinan serba hitam, membuka tirai malam itu dengan rangkaian lagu Tak Ku Duga, Kacamata dan Januari, sekali gus menghangatkan suasana dengan lontaran vokal bertenaga serta interaksi bersahaja bersama-sama peminat.

Tatkala kehangatan persembahan semakin membara, penyanyi kelahiran Machang, Kelantan ini turut mengambil kesempatan meluahkan isi hatinya mengenai pelbagai reaksi diterimanya menjelang persembahan berkenaan termasuklah sindiran “sendu” serta permintaan tiket percuma dan diskaun.

“Ada DM (Direct Message) minta tiket percuma, minta diskaun, ada kata (showcase saya) macam sendu saja. (Bagi saya) kalau orang nak datang, kita besar hati, orang tak mahu datang, tidak mengapa…Kalau ini sahaja yang datang, ini pun sudah cukup besar,” katanya disambut tepukan gemuruh penonton.

Terharu dengan sokongan peminat setia yang sanggup membeli tiket di tengah-tengah persaingan pelbagai acara hiburan lain, ratu pop berusia 44 tahun itu jelas menghargai setiap individu yang hadir memberikan sokongan terhadap persembahannya.

Tidak mahu terlalu lama hanyut dalam luahan emosi, Misha kembali menceriakan suasana dengan gelagat bersahaja apabila mendedahkan angan-angan zaman mudanya untuk bergelar isteri penyanyi terkenal Anuar Zain, sekali gus mengundang gelak tawa penonton.

“Saya rasa, saya antara jutaan wanita yang dahulunya bermimpi nak jadi bini (isteri) dia (Anuar). Kau jangan menipu aku dik, kau mesti ada berangan (sama). Tetapi bila kita dah dewasa, dapat jumpa dan bekerja dengan dia, selera kita sudah bertukar,” selorohnya yang mengundang hilai tawa seisi dewan.

Di sebalik gurauan itu, pemenang Anugerah Juara Lagu 2003 berkenaan turut menzahirkan penghargaan terhadap Anuar yang disifatkannya sebagai senior yang sentiasa mengalu-alukan kehadiran bakat baharu serta memberi keyakinan kepadanya untuk melangkah jauh dalam industri.

Sebagai penghormatan kepada penyanyi berkenaan, Misha kemudiannya mendendangkan lagu rampai Lelaki Ini dan Keabadian Cinta sebelum dewan beralih kepada kehangatan kasih sayang keluarga apabila anak lelakinya, Idris Ezzwa dibawa naik ke pentas sebagai artis undangan pada persembahan itu.

Idris yang tampil sebagai artis undangan mencuri perhatian menerusi lagu Just The Way You Are, sebelum bergandingan dengan ibunya mendendangkan Risk It All, diselang-seli keletah spontan dua beranak yang mencuit hati penonton.

Malam persembahan diteruskan lagi dengan segmen meruntun jiwa menerusi lagu Bahagiamu Deritaku sebagai apresiasi buat rakan duetnya, Hafiz Suip selain karya ciptaan komposer Indonesia Andi Rianto, Bahasa Kalbu.

Misha kemudiannya mengangkat legasi tiga figura tersohor tanah air menerusi segmen The Music Moguls yang menyaksikannya mendendangkan lagu rampai Sentuhan Listrikmu, Penghujung Rindu dan Merisik Khabar sebagai penghargaan buat Datuk M. Nasir, Datuk Jamal Abdillah serta Allahyarham Datuk Sudirman Arshad.

Dewan kemudiannya bertukar menjadi pesta tarian apabila penyanyi ini mengajak peminat untuk turut sama menari menerusi lagu rancak Teh Hijau, Back At One dan Can We Talk sebelum turun mendekati mereka sambil mendendangkan Bunga-Bunga Cinta serta Semoga Abadi.

Melabuhkan tirai persembahan dengan dua lagu yang menguji kehebatan vokalnya, Break dan Sampai Bila selepas lebih dua jam beraksi, sekali gus menerima tepukan sanjungan daripada penonton.

Ternyata, malam itu menjadi bukti bahawa selepas 24 tahun dalam industri seni suara, pesona dan kehebatan vokal Misha masih lagi kekal utuh, sekali gus menepis segala sindiran terhadap kemampuan penyanyi itu untuk terus memikat hati peminatnya.- Bernama