
PETRA JAYA: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, menyampaikan ucapan takziah kepada Tun Jeanne Abdullah susulan pemergian bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Abdullah Ahmad Badawi, yang kembali ke Rahmatullah, petang semalam.
Ucapan takziah tersebut disampaikan menerusi sepucuk surat yang menyatakan rasa dukacita beliau dan isteri, Puan Sri Juma’ani Tun Tuanku Bujang.
“Saya dan Puan Sri Juma’ani ingin menyampaikan ucapan takziah kepada Tun dan seluruh ahli keluarga atas pemergian Tun Haji Abdullah Ahmad Badawi.
“Kami berdoa agar Tun sekeluarga diberikan kesabaran dan ketabahan dalam menghadapi dugaan ini, dan semoga segala urusan dipermudahkan,” kata Premier dalam surat tersebut.
Tun Abdullah merupakan Perdana Menteri kelima Malaysia dan telah berkhidmat dari 2003 hingga 2009.
Abang Johari turut memaklumkan bahawa Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof, mewakili kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam Istiadat Pengebumian Negara yang berlangsung hari ini di Masjid Negara, Kuala Lumpur pada 11.00 pagi.
“Sebagai Perdana Menteri kelima Malaysia, Allahyarham telah mencurahkan khidmat bakti yang tidak berbelah bahagi kepada negara. Pemergian beliau pastinya satu kehilangan besar kepada seluruh rakyat Malaysia,” katanya.
“Saya, bagi pihak keluarga serta rakyat Sarawak, mendoakan agar Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham dan menempatkan beliau dalam kalangan orang-orang yang beriman. Amin,” tambah beliau.