
KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg meneruskan tradisi berziarah sempena Aidilfitri dengan mengadakan kunjungan hormat ke beberapa lokasi rumah terbuka di sekitar Kuching dan Kota Samarahan, hari ini.
Beliau diiringi isteri, Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang, memulakan siri ziarah dengan menghadiri majlis Rumah Terbuka Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi di kediaman beliau di Jalan Sultan Tengah, di sini.
Ketibaan Premier Sarawak dan rombongan pada 10.50 pagi disambut mesra oleh Abdul Rahman dan isteri, Datin Siti Shorgayah Ahmad Zaidin serta ahli keluarga dan kenalan terdekat.
Kunjungan tersebut sekali gus mencerminkan semangat ukhuwah dan nilai kekeluargaan yang terus dipelihara dalam kalangan kepimpinan negeri, khususnya sempena Syawal yang mulia.
Seterusnya, Premier Sarawak menghadiri majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi (MUT) Bersama Agensi 2025 yang diadakan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK). Kehadiran beliau menyerlahkan sokongan terhadap penjawat awam dan agensi kerajaan yang memainkan peranan penting dalam penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Kunjungan Aidilfitri diteruskan ke destinasi terakhir, iaitu majlis Rumah Terbuka Aidilfitri 2025 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stakan, Datuk Hamzah Ibrahim di Pusat Khidmat DUN Stakan, Kota Samarahan pada 2.00 petang tadi.
Tradisi ziarah Aidilfitri oleh pemimpin negeri ini merupakan sebahagian daripada amalan tahunan yang bukan sahaja memperkukuh hubungan antara anggota pentadbiran negeri, malah mempererat jalinan silaturahim dengan masyarakat setempat.
Oleh Rynna Sha’erra