KUCHING: Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Zohari Tun Openg menerima kunjungan hormat daripada Persekutuan Persatuan Wartawan Sarawak (FSJA) yang diketuai Presidennya, Jacqueline David di Pejabat Ketua Menteri, Wisma Bapa Malaysia, di sini, semalam.
Kunjungan itu adalah sebagai penghormatan kepada kerajaan negeri selaku penaja utama Majlis Anugerah Kewartawanan Kenyalang 2020 serta penaja majlis yang sama pada tahun-tahun yang lalu di samping Sarawak Energy Berhad (SEB), Shell dan Petronas.
Semasa kunjungan itu, ahli FSJA turut menjemput Abang Johari bagi menyempurnakan dan seterusnya menyampaikan Anugerah Khas Ketua Menteri sempena Majlis Anugerah Kewartawanan Kenyalang 2020 yang dijadualkan pada 6 November 2020.
Sebanyak 10 kategori penulisan artikel yang akan dipertandingkan sempena Anugerah Kewartawanan Kenyalang 2020 merangkumi Anugerah Ketua Menteri, Anugerah Kewartawanan (Rencana dan Penulisan Berita), Anugerah Laporan Berita, Anugerah Berita Sukan, Anugerah Kewartawanan Lestari, Anugerah Laporan Berita Perniagaan dan Ekonomi, Anugerah Kewartawanan Kesejahteraan Rakyat dan Pembangunan Luar Bandar dan Anugerah Kewartawanan Ekonomi Digital.
Sehubungan itu, Jacqueline menyeru semua wartawan di Sarawak supaya menghantar penyertaan kerana ia bukan sahaja menawarkan hadiah yang menarik malah inilah masanya untuk para wartawan membuktikan kebolehan masing-masing, ujar beliau.
Jacqueline turut memaklumkan berikutan pandemik Covid-19 dan bagi memberi peluang kepada pengamal media dalam penulisan berkenaan topik Covid-19, tempoh pertandingan yang bermula 1 Januari 2019 telah dipanjangkan sehingga 15 Ogos 2020.
Seramai 450 pengamal media di Sarawak dijangka menyertai pertandingan itu tahun ini.
Hadir sama, Ketua Perhubungan Media Pejabat Wilayah Sarawak Petronas, Johannes Ridu, Wartawan Borneo Post Ronnie Teo, Jurufoto The Star Zulazhar Sheblee, dan Wartawan Sarawak Eye Chong Kok Lee.