PAKAN: Akses penduduk di Genega, Amut dan Balong kini bertambah baik susulan siap sepenuhnya projek menaik taraf Jalan Genega ke Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Sembawang bernilai RM700,000 pada 8 September lalu.
Projek tersebut memberi manfaat khususnya kepada komuniti yang bergantung kepada laluan berkenaan untuk urusan harian, selain menjadi akses penting bagi menghantar anak-anak ke SK Nanga Sembawang.
Dilaksanakan menerusi Program Konsesi Hutan, projek berkenaan melibatkan kerjasama Pejabat Perhutanan Pakan dan pasukan teknikal Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarikei.
Skop pelaksanaan projek merangkumi kerja menaik taraf laluan sepanjang 11 kilometer, pembinaan sistem perparitan serta penyediaan laluan berbatu sepanjang 2.5 kilometer.
Projek itu dilaksanakan menerusi kaedah tender terbuka bagi memastikan kerja yang dijalankan mematuhi spesifikasi dan ketetapan yang ditetapkan.
Dengan siapnya projek tersebut, keadaan laluan yang lebih baik dijangka meningkatkan tahap keselamatan serta kelancaran perjalanan penduduk, selain memudahkan pergerakan murid dan guru ke SK Nanga Sembawang.
Kemudahan itu turut penting kepada komuniti setempat kerana menghubungkan kawasan penempatan di Genega, Amut dan Balong dengan sekolah, selain menyokong pergerakan penduduk di kawasan pedalaman Pakan.
Lawatan tapak bagi meninjau pelaksanaan dan keadaan semasa projek turut disertai Penolong Jurutera, Mohammad Nizam Sulaiman; Pembantu Kemahiran, Ramadhan Rabaiee; wakil kontraktor Doris And Son Trading dan Pegawai Tadbir (AO), Janet Boondar, yang mewakili Pejabat Daerah Pakan.
Sementara itu, Ketua Rumah Awin Igai selaku wakil komuniti menzahirkan penghargaan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakan, Tan Sri William Mawan Ikom, Pejabat Perhutanan Pakan, pihak kontraktor dan JKR atas komitmen sehingga projek berkenaan berjaya disiapkan.
“Terima kasih atas jasa Tan Sri William Mawan Ikom, Pejabat Perhutanan Pakan, pihak kontraktor dan JKR yang telah memberikan komitmen tinggi sehingga jalan kami kini lebih baik dan selamat,” katanya.
Katanya, penambahbaikan laluan tersebut memberi kemudahan lebih baik kepada penduduk di ketiga-tiga kawasan, terutama mereka yang menggunakannya sebagai laluan utama untuk menjalankan urusan harian dan menghantar anak ke sekolah.
Awin Igai berharap usaha menambah baik serta menyelenggara infrastruktur di kawasan pedalaman dapat diteruskan bagi memastikan kemudahan yang disediakan kekal selamat dan dapat dimanfaatkan penduduk dalam jangka panjang.
Oleh Earl Anek





