CRISTIANO Ronaldo meletakkan Juventus di ambang gelaran Serie A Itali kesembilan berturut-turut semalam setelah menjaringkan dua gol dalam kemenangan 2-1 ke atas Lazio.
Penyandang juara mengakhiri tiga perlawanan tanpa kemenangan hasil dua gol Ronaldo dalam babak kedua yang menggerakkan mereka lapan mata di hadapan Inter Milan di tempat kedua dengan baki empat perlawanan lagi.
Pasukan Maurizio Sarri dapat menjulang gelaran pada hari Jumaat menentang Udinese, atau pada hari Isnin di tempat sendiri menentang Sampdoria, bergantung pada keputusan pesaing mereka minggu ini.
Harapan Lazio untuk merangkul gelaran Serie A pertama mereka sejak tahun 2000 bagaikan sudah berakhir apabila kekalahan itu menyebabkan mereka kekal di tangga keempat, 11 mata di belakang pendahulu.
Ronaldo meraih gol pertama menerusi sepakan penalti sejurus selepas rehat dan menolak masuk gol kedua beliau selepas menerima hantaran daripada rakan sepasukan Paulo Dybala.
Pemain cdari Portugal itu kini telah menjaringkan 30 gol musim ini, sama dengan penyerang Lazio, Ciro Immobile, yang mengakhiri kemarau tiga perlawanan dengan sepakan penalti lewat. Gol keduamerupakan gol ke-50 beliau dalam Serie A.
Pemain dari Portugal berusia 35 tahun itu ingin menjadi pemain pertama yang berjaya menjadi penjaring terbanyak dalam tiga daripada lima liga utama Eropah setelah melakukannya di England dan Sepanyol.
“Rekod selalu penting, tetapi kemenangan pasukan lebih penting,” kata Ronaldo kepada Sky Sport.
“Saya membantu pasukan untuk menang. Penting untuk merangkul gelaran. Masih ada empat perlawanan lagi dan kami tahu bahawa Serie A adalah kejuaraan yang sukar.”
Hanya satu mata yang memisahkan Juventus dengan Lazio ketika Serie A disambung semula bulan lalu berikutan ‘lockdown’ tiga bulan Covid-19.
Tetapi pasukan Simone Inzaghi telah dilanda masalah kecederaan dan prestasi yang buruk sejak kembali, kalah lima daripada lapan perlawanan, dengan empat daripada kekalahan itu datang dalam lima perlawanan terakhir.
Lazio berada di tempat terakhir kelayakan ke Liga Juara-Juara UEFA 11 mata di hadapan musuh setempat Roma.
Juventus seterusnya melakukan perjalanan ke Udinese sehari selepas Inter menjadi tuan rumah kepada Fiorentina.
Atalanta, yang lebih jauh di tempat ketiga, dapat melangkah kedua tangga kedua pada hari Rabu apabila mereka menjadi tuan rumah kepada Bologna, dengan kemenangan meletakkan pasukan dari Bergamo itu enam mata di belakang Juventus. – AFP