PETRA JAYA, 21 Oktober: Kempen Lebihkan Makan Buah-buahan Tempatan, Produk Ternakan dan Agromakanan Tempatan dilancarkan bagi menggalakkan masyarakat memilih hasil keluaran tempatan, sekali gus menyokong petani, penternak dan pengusaha agromakanan di Sarawak.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyempurnakan pelancaran kempen itu di pekarangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Petra Jaya, hari ini.
Kempen berkenaan diadakan bersempena Mesyuarat Kedua bagi Penggal Kelima DUN Sarawak Ke-19 bagi mempromosikan buah-buahan, produk ternakan dan hasil agromakanan tempatan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), petugas serta pengunjung sepanjang persidangan berlangsung.

Abang Johari tiba di lokasi selepas selesai menyampaikan ucapan penggulungan pada persidangan berkenaan sebelum menyempurnakan simbolik pelancaran kempen itu.
Usaha berkenaan bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan pengambilan buah-buahan tempatan yang berkhasiat, selain memperkenalkan produk ternakan dan agromakanan keluaran Sarawak.
Pada masa sama, kempen itu turut menekankan kepentingan menyokong pengusaha tempatan serta menggalakkan masyarakat memilih produk keluaran negeri.

Inisiatif berkenaan juga menjadi platform untuk memperkenalkan kepelbagaian hasil pertanian dan produk agromakanan Sarawak kepada pengunjung.
Program itu berlangsung pada hari terakhir Mesyuarat Kedua bagi Penggal Kelima DUN Sarawak Ke-19.
Oleh Shikin Mahmud




