KUCHING, 21 Oktober: Sarawak bakal memasuki tempoh peralihan ekonomi dalam tempoh lima tahun akan datang bagi membina ekonomi bernilai tinggi berasaskan teknologi, inovasi dan keupayaan bersaing di peringkat global.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, tempoh itu penting untuk memastikan Sarawak beralih daripada sekadar mengikuti perkembangan ekonomi kepada menjadi pencipta teknologi dan peneraju dalam sektor strategik.
Menurutnya, asas pembangunan yang dibina sepanjang lima tahun lalu telah meletakkan Sarawak pada landasan kukuh untuk meneruskan transformasi ekonomi menerusi pengukuhan kedudukan kewangan negeri, pembangunan infrastruktur dan usaha menarik pelaburan antarabangsa.

“Lima tahun akan datang merupakan tempoh peralihan untuk kita mencapai tahap ekonomi yang lebih tinggi dan menjadi pencipta teknologi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Malam Backbenchers GPS bertemakan Satu Untuk Semua, Semua Untuk Satu, Utamakan Sarawak di sini, malam ini.
Abang Johari yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) berkata, kerajaan negeri akan terus memperkukuh pembangunan infrastruktur, termasuk jalan raya dan jambatan, bagi meningkatkan hubungan antara kawasan serta menyokong pertumbuhan ekonomi, khususnya di luar bandar.
Katanya, pengukuhan kedudukan kewangan negeri turut membolehkan Sarawak memperluas penglibatan dalam sektor strategik, termasuk tenaga dan perbankan, selain meningkatkan potensi sektor pelancongan.
Beliau berkata, minat pelabur antarabangsa terhadap Sarawak menunjukkan potensi negeri itu untuk terus berkembang menerusi pelaksanaan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).

Menurutnya, Sarawak juga perlu melabur dalam pendidikan dan pembangunan modal insan bagi melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang mampu memenuhi keperluan industri berasaskan teknologi.
Katanya, pembangunan ekonomi yang lebih kukuh akan membuka peluang kepada anak Sarawak yang bekerja di luar negeri atau negara untuk kembali menyumbang kepakaran mereka kepada pembangunan negeri.
Beliau menegaskan, pembangunan infrastruktur dan pelaburan perlu diteruskan bagi memastikan Sarawak tidak ketinggalan, sebaliknya mampu bersaing dengan ekonomi lain di peringkat antarabangsa.
Oleh Norman B




