
SIMANGGANG: Kerajaan Sarawak melalui Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) terus komited membantu gereja dan agama-agama lain di negeri ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan, Datuk Mong Dagang berkata jawatankuasa agama harus mempunyai perancangan dan urus tadbir yang sistematik agar belanjawan dana dapat dimanfaat dengan sewajarnya.
“UNIFOR ditubuhkan sebagai agensi kerajaan bertujuan untuk menyalurkan bantuan kepada gereja, Tua Pek Kong dan kuil.
“Harapan saya agar peruntukan yang disalurkan dapat dimanfaat dengan baik serta memberi keselesaan kepada rakyat dalam menjalankan aktiviti keagamaan,” katanya semasa menghadiri ‘Gempuru Besai Gerija Anglika St Luke Ke-4 Tahun 2025 di sini semalam.
Mong berharap inisiatif kerajaan menubuhkan UNIFOR itu akan menjadi contoh bukan sahaja dalam negara tetapi luar negara yang mana kerajaan prihatin dengan semua bangsa, agama dan budaya.
“Tiada kerajaan negeri lain dalam Malaysia melainkan Sarawak yang ditubuhkan bagi memberi tumpuan khas menjaga kebajikan agama-agama lain seperti UNIFOR.
“Kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sentiasa mengambil berat terhadap semua kaum dan agama di negeri ini yang berkhidmat kepada semua masyarakat tanpa mengira latar belakang, bangsa dan agama,” jelasnya.
Mong turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Sarawak melalui UNIFOR dalam membantu agama-agama lain di negeri ini.
“Di DUN Bukit Begunan banyak bantuan dari UNIFOR dalam membina dan membaik pulih gereja dan Chapel,” tambahnya.
Oleh Adi Safarman