Bengkel Baju Ujan perkasa wanita Bukit Saban, buka peluang jana pendapatan

Facebook
WhatsApp
SERAMAI 40 peserta menyertai bengkel tersebut. Foto Douglas Uggah Embas Official

SPAOH, 24 Oktober: Bengkel Pembuatan Baju Ujan yang memasuki edisi kelima terus menjadi platform penting untuk memperkasa wanita di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Saban menerusi latihan kemahiran kraftangan tradisional yang berpotensi menjana pendapatan.

Ketua Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Bukit Saban, Natasha Nasa Uggah berkata, program itu merupakan kesinambungan usaha memperkasa golongan wanita menerusi pelbagai latihan kemahiran, termasuk pembuatan sugu tinggi, manik lom, kain buri dan seni tenunan.

Menurut beliau, penganjuran bengkel berkenaan bukan sahaja bertujuan memelihara warisan kraftangan tradisional, malah membuka peluang kepada wanita untuk meningkatkan ekonomi keluarga melalui penghasilan produk yang mempunyai nilai komersial.

NATASHA Nasa ketika meninjau bengkel anjuran Wanita PBB Cawangan Bukit Saban di Rumah Panjang Guang Sabai, Nanga Paun, Ulu Paku. Foto Douglas Uggah Embas Official

“Ini penting supaya wanita dapat memperkasakan diri dan meningkatkan taraf ekonomi mereka,” katanya ketika meninjau bengkel anjuran Wanita PBB Cawangan Bukit Saban di Rumah Panjang Guang Sabai, Nanga Paun, Ulu Paku, hari ini.

Beliau berkata, program seumpama itu akan terus diperluas bagi memberi peluang kepada lebih ramai wanita mempelajari kemahiran baharu, sekali gus memperkukuh ekonomi komuniti setempat.

Sementara itu, peserta bengkel yang juga pemilik Lat’z Enterprise, Catherine Musa menyifatkan program berkenaan sebagai inisiatif yang bermanfaat kepada penggiat kraftangan di kawasan luar bandar.

BENGKEL Pembuatan Baju Ujan yang memasuki edisi kelima dianjurkan. Foto Douglas Uggah Embas Official

Menurutnya, penghasilan Baju Ujan atau marik ujan semakin mendapat perhatian dan berpotensi menjadi sumber pendapatan tambahan kepada wanita.

Beliau turut menggalakkan lebih ramai wanita menyertai kelas kemahiran seumpama itu bagi mengembangkan potensi diri dan menceburi bidang kraftangan yang mempunyai nilai pasaran.

Seorang lagi peserta, Elenor Dilam Jana berkata, bengkel berkenaan memberi peluang kepada wanita luar bandar, khususnya penghuni rumah panjang, untuk mengasah bakat dan meningkatkan kemahiran dalam bidang kraftangan.

NATASHA Nasa merakamkan gambsr bersama kesemua peserta yang menyertai Bengkel Pembuatan Baju Ujan. Foto Douglas Uggah Embas Official

“Selain menambah kemahiran dan membantu meningkatkan pendapatan keluarga, program seperti ini turut membuka peluang kepada wanita untuk memperluas jaringan sosial, membina keyakinan diri dan berinteraksi dengan masyarakat luar,” katanya.

Seramai 40 peserta menyertai bengkel tersebut yang turut dihadiri Setiausaha Politik Premier Sarawak, Roseline Mapong.

Oleh Adi Safarman