SPAOH, 24 Oktober: Misteri gangguan reptilia yang berulang di sebuah kediaman di Kampung Darat Serembang akhirnya terjawab apabila Angkatan Pertahanan Awam (APM) Spaoh berjaya menangkap seekor anak ular sawa buat kali ketiga di lokasi yang sama, malam ini.
Menurut kenyataan APM Spaoh, Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) menerima panggilan kecemasan daripada seorang penduduk pada 8.10 malam selepas mengesan seekor reptilia berada di bahagian tingkap rumahnya.
Kehadiran haiwan tersebut bukan sahaja menimbulkan kebimbangan, malah mencetuskan rasa takut dalam kalangan ahli keluarga yang berada di dalam kediaman berkenaan.
Bertindak pantas terhadap aduan itu, seramai tiga anggota Skuad Charlie APM Spaoh yang diketuai oleh Sarjan Pertahanan Awam (PA) Kamarrul Badarudin bergegas ke lokasi bagi menjalankan operasi menangkap ular.
Setibanya di tempat kejadian, anggota mendapati seekor anak ular sawa sepanjang 0.9 meter sedang berlingkar di celah tingkap rumah terbabit.
Hasil kecekapan dan pengalaman anggota penyelamat, reptilia tersebut berjaya ditangkap dengan selamat menggunakan teknik menyepit tanpa sebarang kecederaan atau insiden tidak diingini.
Ular sawa berkenaan kemudian dimasukkan ke dalam kotak khas haiwan berbisa sebelum dibawa ke PKOD APM Spaoh untuk tindakan lanjut.
Kejayaan operasi ini sekali gus merungkai misteri gangguan reptilia yang sering dilaporkan di kediaman tersebut, apabila ular yang ditangkap dipercayai menjadi punca utama keresahan penghuni rumah sejak kebelakangan ini.
APM Spaoh dalam masa sama mengingatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada terhadap kehadiran haiwan liar, terutama pada waktu malam, dan tidak bertindak sendiri sekiranya berdepan situasi berbahaya.
Sebarang kecemasan boleh dilaporkan kepada APM Spaoh di talian 083-473006 atau talian kecemasan 999 bagi mendapatkan bantuan segera.
Oleh Adi Safarman




