LONDON, United Kingdom: Pengendali Tottenham Hotspur, Roberto De Zerbi, menyifatkan kemenangan bersejarah 2-0 ke atas seteru London, Chelsea, sebagai bukti pasukannya kini memiliki mentaliti juara selepas berjaya bangkit daripada permulaan musim yang mengecewakan.
Tottenham mencatat kemenangan kedua di Stamford Bridge dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) sepanjang tempoh 36 tahun, sekali gus meraih kejayaan pertama di gelanggang berkenaan sejak 2018.
Kunjungan ke barat London untuk menentang Chelsea sering membawa kekecewaan kepada Tottenham sepanjang empat dekad lalu.
Bagaimanapun, skuad kendalian De Zerbi menikmati kemenangan penuh bermakna di Stamford Bridge pada Sabtu, hasil jaringan sendiri penjaga gol Chelsea, Mike Penders, serta gol menarik Mathys Tel pada penghujung perlawanan selepas bintang The Blues, Cole Palmer, dilayangkan kad merah.
“Ia detik yang cukup bermakna buat penyokong, kelab dan juga pemain. Mereka layak meraih kemenangan ini kerana membuat persiapan dengan sangat baik,” kata De Zerbi.
“Kami menunjukkan banyak peningkatan, khususnya dari segi mentaliti, semangat berpasukan dan hubungan sesama pemain. Pada masa sama, prestasi kami di atas padang juga semakin baik.”
Tottenham memulakan musim dengan prestasi hambar apabila gagal mencatat kemenangan dalam enam perlawanan liga pertama, sekali gus mencetuskan kebimbangan mereka bakal sekali lagi terjerumus dalam perebutan mengelak penyingkiran.
Musim lalu, Tottenham hanya berjaya mengelak daripada tersingkir ke Liga Kejuaraan pada hari terakhir saingan.
Ketika tekanan semakin memuncak terhadap De Zerbi, pengendali dari Itali itu mengambil pendekatan mengeratkan hubungan sesama pemain menerusi aktiviti makan bersama serta lawatan ke Marbella.
Semangat dan keyakinan jadi kunci kebangkitan
Kemenangan ke atas pasukan yang baru dinaikkan pangkat, Coventry, pada Isnin lalu berjaya meredakan tekanan terhadap kelab dari utara London itu.
Kejayaan menewaskan Chelsea pula menjadi satu lagi hasil positif daripada pendekatan De Zerbi yang memberikan penekanan terhadap pembentukan semangat berpasukan.
“Kini kami sebuah pasukan yang lengkap. Apabila kami makan malam bersama dan meluangkan masa di bilik persalinan, saya melihat kumpulan pemain yang berbeza, hubungan yang lebih baik serta suasana yang berlainan dalam kalangan mereka,” katanya.
“Semangat juang yang ditunjukkan hari ini sangat hebat, tetapi kami mempunyai ramai pemain baharu.
“Pemain yang sudah berada di sini sejak musim lalu, atau sejak dua hingga tiga musim lalu, telah melalui keputusan yang mengecewakan, termasuk dua kali menamatkan saingan di tangga ke-17.
“Kami sedang berusaha mengubah sejarah buruk kelab sejak kebelakangan ini.”
Tottenham sebelum ini mula kehilangan kepercayaan penyokong setia mereka susulan satu lagi permulaan musim yang mengecewakan.
Namun, De Zerbi menegaskan beliau tidak pernah meragui kemampuan pasukannya untuk kembali berada di landasan yang betul.
“Saya sememangnya perlu percaya kepada kumpulan pemain ini. Saya tidak pernah hilang keyakinan terhadap mereka,” katanya.
“Minggu yang kami luangkan di Marbella amat penting untuk membolehkan kami berbincang secara bersemuka dengan lebih terbuka, bersikap jujur dan tidak lagi berselindung di sebalik kepura-puraan.
“Ia penting untuk membina semangat dan keyakinan. Suasana dalam bilik persalinan mungkin lebih penting daripada aspek taktikal.”

Sementara itu, bagi pengendali Chelsea, Xabi Alonso, kekalahan berkenaan merupakan tamparan hebat selepas keyakinan yang dibina menerusi kemenangan berturut-turut ke atas Bournemouth dan Everton musnah dalam perlawanan yang berlangsung ketika hujan lebat.
Chelsea yang dibarisi pemain bernilai tinggi kini menghuni tangga keempat liga, namun masih dalam proses membentuk keserasian selepas mengalami kekalahan ketiga liga pada musim pertama Alonso mengendalikan pasukan itu.
“Kami semua kecewa dengan keputusan ini. Dari segi prestasi secara berpasukan mahupun individu, kami tidak berada pada tahap terbaik,” katanya.
“Segala-galanya berkisar kepada gol pertama dan keadaan kemudian memihak kepada mereka.
“Beraksi dengan 10 pemain sememangnya sukar, tetapi kami sebenarnya mampu melakukan yang lebih baik.”
Alonso bagaimanapun enggan menyalahkan Penders dan Palmer atas peranan masing-masing dalam kekalahan tersebut.
“Kami memahami perasaan semua pihak. Ini adalah soal pasukan secara keseluruhan dan tanggungjawab bersama. Kami perlu melupakan kekalahan ini dan meneruskan perjuangan,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa dirinya “belum melihat” kedua-dua insiden yang menyebabkan Palmer menerima kad kuning. – AFP



