Jangan berdiam diri, laporkan keganasan rumah tangga – Len Talif

Facebook
WhatsApp
PEGAWAI Kebajikan Masyarakat Bahagian Sarikei, Tang Kee Lee menyerahkan cenderamata kepada Datuk Len Talif Salleh.

SARIKEI, 24 Oktober: Ketua masyarakat dan ketua kaum (KMKK) perlu memainkan peranan lebih aktif dalam membantu mangsa keganasan rumah tangga mendapatkan bantuan dan perlindungan melalui kerjasama dengan agensi berkaitan.

Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang, Datuk Len Talif Salleh berkata, pemimpin komuniti merupakan antara pihak penting yang boleh menyampaikan maklumat, memberikan sokongan awal dan menghubungkan mangsa dengan agensi yang menyediakan bantuan.

Menurutnya, masyarakat juga perlu lebih peka terhadap kejadian penderaan di sekeliling mereka dan tidak menganggap keganasan rumah tangga sebagai urusan peribadi keluarga yang perlu disembunyikan.

Beliau berkata, ketakutan, stigma masyarakat dan kebimbangan terhadap maruah keluarga tidak seharusnya menghalang mangsa daripada mendapatkan pertolongan.

“Tindakan bagi membanteras keganasan rumah tangga perlu dilaksanakan secara menyeluruh melalui kerjasama pelbagai agensi kerajaan serta penglibatan aktif seluruh lapisan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Program Advokasi Perundangan (Akta Keganasan Rumah Tangga 1994) di Dewan Serbaguna, Tingkat 3, Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak Bahagian Sarikei (IAC Sarikei), hari ini.

Program anjuran Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian Sarikei itu menghimpunkan 163 peserta yang terdiri daripada KMKK dari seluruh Daerah Sarikei.

Mengulas statistik keganasan rumah tangga di Sarawak, Len Talif berkata, sebanyak 65 kes direkodkan di seluruh negeri bagi tempoh Januari hingga Ogos 2026, berbanding 74 kes sepanjang 2025.

TIMBALAN Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar bergambar bersama yang lain di Majlis Perasmian Penutupan Program Advokasi Perundangan (Akta Keganasan Rumah Tangga 1994).

Bagi Bahagian Sarikei, satu kes dilaporkan dalam tempoh Januari hingga Ogos tahun ini.

Beliau berkata, angka tersebut perlu disusuli peningkatan kesedaran masyarakat supaya mangsa dan individu yang mengetahui kejadian penderaan tampil mendapatkan bantuan.

Dalam pada itu, Len Talif mengingatkan bahawa keganasan rumah tangga bukan sahaja melibatkan wanita, malah lelaki juga boleh menjadi mangsa dan berhak mendapat perlindungan undang-undang di bawah Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 (Akta 521).

Beliau turut menyeru masyarakat supaya melaporkan kepada pihak polis atau menghubungi Talian Kasih di talian 15999 sekiranya mengetahui atau mengesyaki berlakunya penderaan.

Katanya, orang ramai tidak seharusnya sekadar merakam kejadian untuk disebarkan di media sosial, sebaliknya perlu menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa agar tindakan sewajarnya dapat diambil bagi melindungi mangsa.

Beliau menegaskan bahawa masyarakat perlu memahami pelbagai bentuk keganasan rumah tangga dan tidak menormalisasikan penderaan demi menjaga nama baik keluarga.

“Keluarga yang sihat ialah keluarga yang mampu menyelesaikan perbezaan dengan hormat, tanpa ketakutan, ancaman atau kekerasan,” katanya.

Oleh Earl Anek

KITA BERBEZA, ITULAH HAKIKAT

Kita dilahirkan di bumi yang sama, bernaung di bawah langit yang satu, menghirup udara yang sama dan menjalani kehidupan yang