
MIRI: Lebih 300 peserta termasuk dari luar negara mengambil bahagian dalam SOPMA Baton Run 2025 yang berlangsung meriah di Marina Park, anjuran Majlis Bandaraya Miri, hari ini.
Acara ini dianjurkan oleh Persatuan Sukan Orang Pekak Sarawak sebagai kesinambungan promosi menjelang penganjuran Sukan Orang Pekak Malaysia (SOPMA) yang dijadualkan berlangsung di Sarawak tahun ini.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Jeffrey Phang yang mewakili Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin.
Dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Jeffrey, Dato Sri Lee menegaskan bahawa SOPMA Baton Run bukan sekadar acara riadah, malah menjadi simbol perjuangan, inspirasi serta penyatuan antara komuniti pekak dan masyarakat umum.
“Acara ini bukan sahaja menyemai budaya hidup sihat, malah menjadi pemangkin semangat kepada warga pekak, khususnya di Miri, untuk tampil lebih yakin dan bangga dengan kebolehan mereka,” katanya.
Beliau turut menyatakan kekaguman terhadap ketabahan atlet Orang Kelainan Upaya (OKU) yang terus berjuang dalam pelbagai kejohanan walaupun berdepan pelbagai cabaran.
Dalam hal ini, beliau memuji peranan badan bukan kerajaan (NGO) seperti Persatuan Sukan Orang Pekak Sarawak yang bukan sahaja memperjuangkan kebajikan komuniti, tetapi turut menjadi jambatan yang menyatukan masyarakat pelbagai latar belakang.
“Di bawah kepimpinan Premier Sarawak yang menekankan prinsip Keterangkuman Sosial, kerajaan negeri sentiasa komited memastikan tiada kelompok masyarakat yang dipinggirkan,” tambahnya, sambil menekankan keperluan kolaborasi erat antara kerajaan dan NGO dalam memperkasakan komuniti setempat.
Sebagai tanda sokongan, beliau turut mengumumkan sumbangan sebanyak RM5,000 kepada Persatuan Sukan Orang Pekak Sarawak bagi membantu kelancaran program serta persediaan atlet ke SOPMA akan datang.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengelola, Victor Hii berkata acara ini turut menjadi platform untuk mengumpul dana bagi latihan atlet pekak Sarawak, di samping meningkatkan kesedaran awam mengenai penganjuran SOPMA serta potensi komuniti pekak.
SOPMA Baton Run 2025 membuktikan bahawa acara sukan mampu menjadi pemacu perubahan sosial dan pengukuh semangat solidariti dalam masyarakat berbilang kaum.
Turut hadir, Datuk Bandar Miri, Adam Yii Siew Sang serta tetamu jemputan yang lain. -UKAS