
LIMBANG: Sepanjang lima tahun lalu, pelbagai projek pembangunan giat dilaksanakan oleh kerajaan Sarawak, meliputi kawasan dari selatan negeri hingga ke Bahagian Limbang di utara.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Ismail memberitahu projek pembangunan yang dilaksanakan secara berterusan telah mengubah landskap pembangunan di daerah itu dan seluruh Sarawak.
“Memang banyak projek pembangunan dilaksanakan dalam tempoh lima ini di Limbang, jalan raya, projek Kompleks Pentadbiran Bersepadu (IAC), pemanjangan landasan lapangan terbang, projek pembangunan pejabat Majlis Daerah Limbang (MDL) dan sebagainya.
“Tiga projek mega iaitu Lebuh Raya Trans Borneo, Jalan Penghubung Sarawak Sabah (SSLR) dan Lebuh Raya Pesisir Utara turut dilaksanakan serentak,” ujarnya ketika berucap pada majlis Ramah Tamah Aidilfitri Persatuan Kedayan Limbang (PKL) di Dewan Suarah Limbang malam tadi.

Beliau turut memberitahu PKL yang ditubuhkan pada 2007, bakal mempunyai bangunan pejabatnya tersendiri yang dibina mengikut konsep moden dan canggih dengan kos keseluruhan bernilai RM25 juta.
Katanya bangunan tercanggih itu akan memuatkan kapasiti 500 hingga 700 orang selain dilengkapi dewan, pejabat dan kemudahan lain yang menyaksikan kerja pembinaan dijadualkan bermula September ini.
Beliau menjelaskan lagi kerja pembinaan itu mengambil masa selama 18 bulan dan dijangka siap pada awal 2027.
Beliau mahu prasarana itu dijaga sebaiknya untuk untuk aktiviti persatuan selain disewa kepada pihak lain yang mampu menjana pendapatan persatuan itu.
Turut hadir, Residen Limbang Unos Tambi, Pegawai Daerah Limbang Sulaiman Engal dan Pengerusi PKL yang juga Pengerusi MDL Kaunselor Sufian Mohat.
Oleh Adeng Edrus