Jambatan Sejingkat buka laluan baharu, Kuching-Samarahan makin dekat

Facebook
WhatsApp
TIMBALAN Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas bergambar di atas Jambatan Sejingkat yang merentasi Sungai Sarawak, hari ini.

SEJINGKAT, , 5 OktoberDatuk Amar Douglas Uggah Embas,Kuching, Samarahan,: Jambatan Sejingkat yang merentasi Sungai Sarawak dibuka kepada orang ramai mulai hari ini, sekali gus menjadi satu lagi pencapaian penting dalam usaha memperkukuh jaringan perhubungan antara Kuching dan Samarahan.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, Jambatan Sejingkat merupakan jambatan mega ke-12 yang siap daripada keseluruhan 21 jambatan mega yang dibina di Sarawak, dengan empat lagi dijangka siap dalam tempoh dua hingga tiga bulan akan datang.

KONVOI motosikal mengiringi kenderaan sempena pembukaan Jambatan Sejingkat, hari ini.

“Hari ini kita menuai satu lagi jambatan. Ini adalah jambatan mega nombor ke-12 yang kita bina. Di Sarawak, kita membina 21 jambatan mega.12 sudah siap, empat akan siap dalam dua tiga bulan ini dan ada bakinya untuk tahun depan,” katanya ketika ditemui pada majlis pra-pembukaan Jambatan Sejingkat, hari ini.

Beliau berkata, jambatan sepanjang 1.281 kilometer itu membolehkan orang ramai dari kedua-dua kawasan menggunakan laluan berkenaan tanpa perlu melalui Lebuh Raya Kuching-Samarahan, sekali gus memudahkan perjalanan ke lapangan terbang, Demak, Petra Jaya dan kawasan perindustrian.

Menurutnya, Jambatan Sejingkat merupakan sebahagian daripada Jalan Utama Kedua (Second Trunk Road) yang akan menghubungkan kawasan berkenaan dengan Sebuyau, Sri Aman dan seterusnya ke Kuching, sekali gus berpotensi memendekkan perjalanan apabila keseluruhan rangkaian siap.

TETAMU dan pegawai bergambar sempena pembukaan Jambatan Sejingkat, hari ini.

Uggah berkata, satu lagi pautan penting yang masih belum lengkap ialah pakej DC3 yang menghubungkan kawasan berkenaan dengan Kota Samarahan dan dijangka siap pada penghujung tahun depan.

“DC2 sudah siap, ini sudah siap, tetapi DC3 dijangka siap hujung tahun depan. Itu akan menghubungkan Kota Samarahan ke Sadong, Sri Aman dan seterusnya ke Sibu,” katanya.

Beliau berkata, pembangunan rangkaian jalan berkenaan turut membuka kawasan ekonomi baharu dan meningkatkan akses penduduk kepada peluang ekonomi, selain Sarawak turut membangunkan jalan bertingkat sepanjang 11 kilometer di kawasan tanah gambut sebagai sebahagian daripada pendekatan pembangunan infrastruktur yang lebih lestari.

DATUK Amar Douglas Uggah Embas bersama tetamu memotong reben sebagai simbolik pembukaan Jambatan Sejingkat, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Uggah berkata, Jambatan Batang Paloh dan Jambatan Batang Lupar 2 dijangka dibuka pada penghujung Oktober, manakala Jambatan Rambungan pula disasarkan siap pada penghujung tahun, dengan jambatan mega ke-21 dijangka siap tahun depan.

Katanya, Jambatan Sejingkat turut mempunyai ciri unik menerusi tiang berbentuk berlian (diamond-shaped pylon) yang disifatkan sebagai satu-satunya reka bentuk seumpamanya di Malaysia dan berpotensi mencipta satu lagi rekod dalam pembinaan jambatan negara.

DATUK Amar Douglas Uggah Embas melihat penerangan berkaitan projek Jambatan Sejingkat, hari ini.

Untuk rekod, Jambatan Sejingkat sepanjang 1,281.2 meter menghubungkan Sejingkat di Kuching dengan Tanjung Bako di Samarahan dan dibina mengikut piawaian JKR R5. Struktur utamanya menggunakan reka bentuk jambatan kabel dengan tiga rentang masing-masing sepanjang 200 meter, 400 meter dan 200 meter.

Projek bernilai kira-kira RM365.7 juta itu mula dibina pada 2021 dan merupakan sebahagian daripada rangkaian jalan alternatif Kuching-Samarahan, yang dijangka membantu melancarkan aliran trafik serta meningkatkan akses antara Sejingkat, Tanjung Bako dan kawasan sekitarnya.

Oleh Shikin Mahmud