Tenaga boleh baharu Sarawak jadi nadi AI Grid

Facebook
WhatsApp
DATUK Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyampaikan ucaptama pada Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (IDECS) ke-9 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini.

KUCHING, 5 Oktober: Sarawak sedang membangunkan Grid Kecerdasan Buatan (AI Grid) yang menghubungkan sumber pengkomputeran dengan kapasiti tenaga boleh baharu negeri itu, sekali gus meletakkan tenaga bersih sebagai antara asas penting dalam pembangunan ekosistem kecerdasan buatan (AI) Sarawak.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pembangunan AI Grid itu merupakan sebahagian daripada usaha negeri untuk bergerak daripada peringkat strategi kepada pembangunan infrastruktur dan seterusnya aplikasi AI yang memberi manfaat kepada keutamaan Sarawak.

Menurut beliau, AI Grid berkenaan sedang dibangunkan bagi menghubungkan sumber pengkomputeran yang ada, selain memanfaatkan kapasiti tenaga boleh baharu Sarawak sebagai sebahagian daripada pendekatan pembangunan infrastruktur digital negeri.

Katanya, pendekatan itu penting kerana perkembangan teknologi AI bukan hanya bergantung kepada kemampuan pengkomputeran, sebaliknya perlu disokong oleh infrastruktur tenaga yang mencukupi serta sumber tenaga yang mampu menyokong pertumbuhan penggunaan AI dalam jangka panjang.

“Di samping itu, AI Grid sedang dibangunkan untuk menghubungkan sumber pengkomputeran dan menggunakan kapasiti tenaga boleh baharu Sarawak,” katanya dalam ucaptama pada Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (IDECS) ke-9 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini.

Abang Johari berkata, pembangunan Kampus Data AI Kuching di Tanjung Embang pula akan menyediakan asas fizikal kepada pembangunan AI Grid, selain mewujudkan platform untuk menarik pelaburan, memperkukuh ekosistem pusat data serta menyokong pertumbuhan perniagaan dan keupayaan berkaitan AI di Sarawak.

Menurutnya, gabungan antara kampus data dan AI Grid mencerminkan peralihan Sarawak daripada sekadar merangka strategi digital kepada pembinaan infrastruktur sebenar yang boleh menyokong penggunaan AI dalam pelbagai bidang.

Beliau berkata, kepentingan pembangunan itu akhirnya bergantung kepada sejauh mana teknologi AI dapat digunakan secara bertanggungjawab bagi menangani keperluan serta keutamaan Sarawak, bukan sekadar membangunkan infrastruktur berteknologi tinggi tanpa aplikasi yang jelas.

DATUK Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bersama tetamu kehormat yang lain menyempurnakan gimik perasmian Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (IDECS) ke-9 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini.

“Signifikannya terletak pada keupayaan kita untuk menggunakan AI secara bertanggungjawab bagi memenuhi keutamaan Sarawak,” katanya.

Dalam pada itu, Abang Johari berkata, pendekatan Sarawak terhadap AI turut diterjemahkan menerusi pembangunan ADAM AI untuk Perkhidmatan Awam Sarawak sebagai contoh penggunaan AI secara praktikal dalam sektor kerajaan.

Katanya, ADAM AI membolehkan penggunaan maklumat yang dibenarkan bagi menyokong analisis dasar, penyediaan dokumen, penilaian senario dan proses membuat keputusan, sekali gus menunjukkan bagaimana keupayaan AI boleh diterapkan dalam operasi kerajaan.

Beliau berkata, potensi teknologi itu bagaimanapun tidak terhad kepada sektor awam kerana keupayaan sama boleh disesuaikan dengan pelbagai industri berdasarkan keperluan dan kekuatan khusus Sarawak.

Abang Johari turut menegaskan bahawa teknologi tidak boleh berkembang secara bersendirian kerana infrastruktur, bakat, penyelidikan, industri, pelaburan serta akses kepada pasaran perlu bergerak seiring bagi memastikan idea yang dihasilkan dapat diterjemahkan kepada produk, perkhidmatan dan perniagaan.

Katanya, ekosistem yang ingin dibangunkan Sarawak perlu membolehkan penyelidik menghasilkan idea, syarikat menguji dan mengkomersialkan idea berkenaan, pelabur menyokong perkembangannya serta produk atau perkhidmatan yang terhasil menembusi pasaran di luar Sarawak.

“Melalui hubungan antara pengetahuan, keupayaan, pelaburan dan pasaran inilah inovasi boleh bergerak melangkaui idea dan menjadi nilai ekonomi,” katanya.

Oleh Shahrul Qaizat