
SELANGAU: Kerajaan Sarawak kekal komited dalam menyediakan kediaman yang selesa dan selamat melalui pelaksanaan Projek Penambahbaikan Rumah Miskin Sarawak (PPRMS) dan Projek Kecil Luar Bandar (MRP).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin, Ir. Christopher Gira Sambang, berkata bantuan melalui inisiatif kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) ini akan diteruskan demi membantu golongan memerlukan, khususnya penduduk di kawasan DUN Tamin.
Melalui peruntukan MRP dan PPRMS, Gira telah menyalurkan dana berjumlah RM45,000 (MRP) dan RM60,000 (PPRMS) kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rantau Panjai Pelugau yang diketuai oleh Tuai Rumah Kepu Usah.
Penyerahan peruntukan tersebut telah disempurnakan oleh beliau sempena Majlis Perasmian Pecah Tanah Projek Kelestarian Penanaman Cili di bawah Projek Sejati Madani yang berlangsung, baru-baru ini.
“Saya mengucapkan tahniah kepada JKKK Tuai Rumah Kepu Usah kerana terpilih sebagai salah satu daripada 45 rumah panjang di DUN Tamin yang menerima inisiatif projek pertanian berasaskan penanaman cili ini,” katanya.
Berucap pada majlis tersebut, Gira turut mengingatkan semua Tuai Rumah di kawasan Pelugau agar sentiasa peka dan bertanggungjawab dalam menyampaikan dasar serta maklumat daripada Kerajaan Negeri dan Persekutuan kepada penduduk.
“Perkara ini amat penting supaya penduduk rumah panjang tidak ketinggalan dalam menerima informasi dan perkembangan terkini daripada kerajaan,” tambahnya.
Beliau turut menyarankan setiap JKKK rumah panjang memanfaatkan peruntukan MRP dengan bijak serta berhemah demi kesejahteraan komuniti.
“Gunakan dana MRP ini sebagai modal untuk menjalankan aktiviti bersama seperti gotong-royong bulanan,” ujarnya lagi.
Dalam masa sama, Gira merakamkan penghargaan kepada penduduk Pelugau atas kepercayaan dan sokongan yang diberikan terhadap kepimpinannya.
“Saya amat menghargai penglibatan aktif para Tuai Rumah di kawasan ini. Terima kasih, Pelugau,” katanya penuh penghargaan.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pegawai Daerah Selangau Yalin Asan, Penghulu Thomas, Penghulu Ngalai Asom, Penghulu Bansa Kunchau, Penghulu Surang Takin, Penghulu Julia Awal, Penghulu Christopher Chad, Penghulu Busang Bedindang, para kaunselor, Tuai-Tuai Rumah serta penduduk sekitar kawasan Pelugau.
Oleh Tarani Lanting