SIBU: Pasukan Pemburu Buaya Sibu berjaya menangkap seekor buaya sepanjang 3.10 meter di Batang Igan, berhampiran Kampung Kebuaw, semalam.
Ketua Pasukan Pemburu Buaya Sibu, Jeffery Siew berkata, pihaknya menerima aduan daripada penduduk tempatan beberapa hari lalu berhubung kelibat seekor buaya yang sering muncul di kawasan Sungai Igan, Kampung Kebuaw.
Menurutnya, berikutan paras air sungai yang meningkat sejak kebelakangan ini, buaya berkenaan dipercayai lebih kerap menghampiri tebing untuk mencari makanan.
Katanya, penduduk beberapa kali melihat buaya tersebut menghampiri tebing sebelum menarik anjing yang berada di kawasan berkenaan ke dalam sungai.
“Seorang penduduk wanita memaklumkan kepada kami bahawa tiga ekor anjing peliharaannya telah ditarik oleh buaya tersebut, menyebabkan beliau dan penduduk lain berasa bimbang terhadap keselamatan mereka,” ujarnya.
Beliau berkata, penduduk turut memaklumkan bahawa buaya berkenaan seolah-olah tidak begitu takut kepada manusia dan sering naik ke jeti untuk berjemur.
“Dengan paras air yang semakin meningkat, buaya tersebut lebih mudah menghampiri dan naik ke kawasan jeti, menyebabkan penduduk mengurangkan aktiviti di kawasan berkenaan,” ujarnya lagi.
Bertindak atas aduan, Jeffery bersama pasukannya pergi ke lokasi dua hari lalu untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai pergerakan buaya tersebut sebelum menjalankan operasi menangkap menggunakan umpan.
“Walaupun perjalanan ke lokasi agak jauh dan keadaan kesihatan saya belum pulih sepenuhnya, saya tetap turun bersama pasukan bagi menjayakan operasi berkenaan,” katanya.
Beliau berkata, segala keletihan dirasakan berbaloi apabila melihat sambutan, semangat dan kerjasama luar biasa yang diberikan penduduk kampung.
“Orang ramai mungkin melihat ini sebagai satu proses menangkap buaya, tetapi apa yang kami lihat ialah rasa hormat, perpaduan dan kedamaian sesama manusia.
“Tidak kira bangsa atau agama, apabila kita bersatu demi keselamatan bersama, itulah kekuatan sebenar keharmonian Sarawak,” ujarnya.
Jeffery turut merakamkan penghargaan kepada penduduk yang membantu dan memberikan sokongan kepada pasukan sepanjang operasi berkenaan.
“Inilah Sarawak kita, bersatu, saling menghormati dan hidup dalam keharmonian,” ujarnya lagi.
Katanya lagi, perjalanan pasukan bagaimanapun belum berakhir kerana usaha akan diteruskan bagi memastikan keselamatan penduduk di kawasan berkenaan.
“Semoga selepas ini ada lebih banyak hasil yang dapat menjamin keselamatan penduduk,” katanya.
Oleh Akun Giman




