
DEBAK: Peruntukan berjumlah RM600,000 telah diluluskan bagi tujuan menaik taraf Pusat Sukan Riveria Debak.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Mohammad Razi Sitam berkata projek di bawah Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) itu dijangka akan dimulakan selewat-lewatnya pada penghujung tahun ini.
“Kerja menaik taraf Pusat Sukan Riveria ini akan dikendalikan oleh agensi pelaksana iaitu Majlis Daerah Betong (MDS) dan projek ini kita jangka akan mula dilaksanakan pada penghujung tahun ini,” katanya
Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis penutupan Kejohanan Futsal Piala Belia Terbuka Lelaki Bawah 30 Tahun 2025 di Pusat Sukan Riveria Debak hari ini.
Razi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas berkata komitmen kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk menyediakan kemudahan kepada rakyat terbukti apabila telah menyediakan sebuah pusat sukan untuk kegunaan penduduk di Debak di sini.

“Bukan itu sahaja pusat sukan yang turut terdapatnya sebuah gelanggang futsal ini dibina hasil daripada permintaan dan permohonan belia di kampung supaya dibina kemudahan untuk mereka menjalankan aktiviti sukan.
“Pembinaan Pusat Sukan Riveria Debak ini juga dilihat mampu menjadi landasan terbaik untuk melahirkan pemainyang berkualiti. Ia juga merupakan usaha sepanjang masa untuk melahirkan pemain berkaliber dalam kalangan belia DUN Saribas, sekali gus mewakili negeri atau negara satu hari kelak,” ujarnya.
Mengulas penganjuran kejohanan futsal di Debak, Razi berkata, ia amat penting terutamanya bagi pembangunan bakat-bakat baharu sukan futsal dalam kalangan di Sarawak.
“Penganjuran kejohanan seperti ini adalah amat baik sekali bagi pembangunan bakat baharu sukan futsal ini dalam kalangan para belia kita di Sarawak ini. Untuk itu, keterlibatan badan bukan kerajaan (NGO) dan kelab adalah amat kita sanjungi dan hargai dalam usaha ini,” tambahnya.
Kejohanan Piala Kelab Belia Pekan Debak bagi kategori lelaki dan Piala Laser Light bagi kategori wanita telah berlangsung selama tiga hari disertai sebanyak 41 pasukan iaitu 25 pasukan kategori lelaki dan 16 kategori wanita.
Bagi kategori lelaki, Pasukan Scarlow FT muncul juara setelah menewaskan Pasukan Bawah Bayu dari Sabah menerusi jaringan 2-1. Sementara bagi kategori wanita, Pasukan Eight United berjaya bergelar juara setelah menewaskan Tidal Bore 1-0.
Juara kategori lelaki membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM2,000 beserta piala dan pingat manakala kategori wanita wang tunai sebanyak RM1,200 juga beserta piala dan pingat.
Turut hadir Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Sarawak, Lamat Nyalau, Presiden Persatuan Bola Sepak Bahagian Betong (BDFA), Abang Suhordie Abang Zaini dan Temenggung Piee Alwi.
Oleh Adi Safarman