
Foto IPD Kota Samarahan
KOTA SAMARAHAN: Kemalangan membabitkan dua motosikal di Batu 9 Jalan Kuching-Serian meragut nyawa seorang pemuda di sini, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, Superintendan Damataries Lautin, berkata mangsa yang maut dikenali sebagai Mohammad Nur Naqib Mohamad Jefferydin,21, beralamat di Kampung Sri Arjuna dalam kejadian 1.30 pagi itu.
Katanya, seorang lagi penunggang motosikal Yamaha LC135 berusia 18 tahun mengalami cedera ringan.
“Siasatan awal mendapati kemalangan melibatkan motosikal Yamaha Y15 yang ditunggang mangsa dari arah Kuching menghala ke Kampung Sri Arjuna.
“Apabila sampai di Batu 9 Jalan Kuching Serian dan sedang bergerak lurus, tiba-tiba mangsa menekan brek secara mengejut kerana terdapat kenderaan di hadapan hendak masuk ke simpang mengakibatkan mangsa dilanggar dari belakang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, susulan kejadian, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian pada 1.51 pagi.
Sementara itu, seorang lagi mangsa yang mengalami luka ringan dihantar ke wad Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk menerima rawatan.
Damataries Lautin turut memaklumkan bahawa kenderaan terlibat dalam kemalangan diarahkan untuk dihantar ke Balai Polis Trafik Kota Samarahan bagi tindakan lanjut, manakala mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Umum Sarawak (HUS).
Ujarnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ)1987.