PRN13: Lau sasar dekati lebih 100 rumah panjang di Bawang Assan

Facebook
WhatsApp
LAU...Ketika ditemui pemberita semasa berkempen di Pasar Sentral Sibu, di sini, pagi ini

SIBU, 29 Nov: Walaupun membuat keputusan bertanding pada saat-saat akhir, calon DAP bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.53 Bawang Assan, Alice Lau Kiong Yieng bertekad memanfaatkan tempoh kempen Pilihan Raya Negeri ke-13 (PRN13) Sarawak untuk mendekati seramai mungkin pengundi di kawasan itu.

Beliau berkata, cabaran utama yang dihadapinya ialah keluasan kawasan Bawang Assan yang mempunyai lebih 100 rumah panjang dan memerlukan perancangan rapi bagi memastikan mesej kempen dapat disampaikan kepada penduduk.

Katanya, keputusan untuk bertanding hanya dibuat sehari atau dua hari sebelum penamaan calon, menyebabkan beliau mempunyai masa yang sangat terhad untuk membuat persiapan.

“Perancangan saya sekarang adalah turun padang dan mengunjungi seramai mungkin penduduk di kawasan Bawang Assan, termasuk di kawasan bandar dan rumah panjang.

“Memang bukan mudah kerana terdapat lebih 100 rumah panjang di kawasan ini, tetapi saya akan cuba sedaya upaya,” jelasnya ketika ditemui pemberita ketika berkempen di Pasar Sentral Sibu, di sini, pagi ini.

Lau berkata, keputusannya memasuki gelanggang pilihan raya pada saat-saat akhir bertujuan mengurangkan jumlah kerusi yang dimenangi tanpa bertanding, sekali gus memastikan pengundi terus mempunyai pilihan dalam menentukan wakil rakyat mereka.

Mengulas mengenai peranannya sekiranya berjaya memenangi kerusi itu, Lau berkata, pengalaman selama 13 tahun sebagai Ahli Parlimen Lanang, termasuk pernah memegang jawatan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, akan dimanfaatkan untuk memperjuangkan kepentingan penduduk Bawang Assan.

Beliau menegaskan kepentingan kewujudan pembangkang dalam DUN bagi memastikan sistem semak dan imbang terus berfungsi, selain membolehkan pandangan berbeza diketengahkan untuk menambah baik dasar kerajaan.

“Pembangkang bukan semestinya menentang setiap dasar kerajaan, sebaliknya berperanan mengemukakan cadangan membina demi kepentingan rakyat,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut berhasrat membawa pendekatan kebajikan yang dilaksanakan sepanjang berkhidmat di Lanang ke Bawang Assan.

Lau berkata, menerusi peruntukan yang dimilikinya sebelum ini, pelbagai bentuk bantuan diperkenalkan meliputi bantuan bayi baru lahir, rawatan hemodialisis, kanser, penyakit jantung, pendidikan dan pengurusan kematian.

“Bantuan berkenaan turut merangkumi golongan orang kurang upaya (OKU) dan wanita,” ujarnya lagi.

Beliau berharap pengalaman serta pendekatan berkenaan dapat diperluaskan kepada masyarakat Bawang Assan sekiranya diberikan mandat pada PRN13.

Turut hadir menyertai kempen tersebut ialah calon DAP DUN N.51 Bukit Assek, Chiew Sung Ngie.

Oleh Akun Giman