Menjejaki kuil kayu belian di Matang

Facebook
WhatsApp
PINTU masuk utama ke Kuil Sri Maha Mariamman Gunung Matang, iaitu antara kuil Hindu tertua di Sarawak. Foto Bernama

KUCHING, 29 Nov: Bermula dengan carian di Google telah menarik minat seorang penulis kelahiran Semenanjung Malaysia untuk mengunjungi sebuah kuil Hindu berusia 129 tahun, yang terletak di puncak Gunung Matang, kira-kira 30 minit perjalanan dari Kuching.

Penulis berpeluang mengunjungi Kuil Sri Maha Mariamman Gunung Matang, iaitu antara kuil Hindu tertua di Sarawak, yang mempunyai keistimewaan tersendiri kerana keseluruhan binaannya diperbuat daripada kayu belian, sejenis kayu keras yang berasal dari Borneo.

Dikenali secara saintifik sebagai Eusideroxylon zwageri, kayu belian adalah antara spesies paling keras dan kuat di rantau ini, yang lazimnya digunakan dalam pembinaan rumah, jambatan dan struktur maritim. Pokok belian juga ialah pokok rasmi Sarawak.

KUIL Sri Maha Mariamman Gunung Matang, iaitu antara kuil Hindu tertua di Sarawak. Foto Bernama

Pengerusi kuil itu, Vaithilingam Palanisami, 70, berkata kuil berkenaan dipercayai satu-satunya kuil Hindu di Malaysia yang dibina sepenuhnya menggunakan kayu belian dan telah wujud sejak zaman pemerintahan keluarga Brooke pada abad ke-19.

“Kuil itu wujud dari 1897 hingga 1912. Raja Putih kedua, Sir Charles Brooke membawa masuk penduduk dari India, Kerala, Ceylon (kini Sri Lanka) dan tempat lain untuk mengusahakan tanaman kopi di kawasan ini, yang kemudiannya dibangunkan sebagai ladang kopi.

“Apabila ladang itu ditutup selepas 1912, kuil berkenaan turut ditutup dan patung dewa dan dewi diturunkan,” katanya kepada Bernama.

Vaithilingam berkata kuil itu terbiar selama 56 tahun hingga 1968, sehinggalah seorang pemburu berketurunan Bidayuh-Melanau bernama Abi Benggali mencari tempat berlindung di situ ketika hujan ribut.

Berita mengenai penemuan kuil itu berita itu akhirnya sampai ke pengetahuan masyarakat India, sekali gus mendorong usaha menjejaki semula kuil yang telah lama dilupakan itu.

“Beberapa pemuda India cuba mendapatkan maklumat sama ada benar terdapat sebuah kuil di atas gunung itu. Mereka mendapatkan kepastian daripada generasi lama yang mengesahkan bahawa memang ada kuil di sana.

“Dengan bantuan generasi lama itu mereka berjaya menemukan kuil berkenaan dan selepas itu, membersihkan kawasan sekitarnya serta memulakan upacara sembahyang mengikut ritual masyarakat India,” katanya.

PENGERUSI kuil, Vaithilingam Palanisami, 70, menceritakan sejarah pembinaan Kuil Sri Maha Mariamman Gunung Matang, iaitu antara kuil Hindu tertua di Sarawak. Foto Bernama

Vaithilingam berkata upacara sembahyang di kuil itu dijalankan secara sederhana dari 1970 hingga 2000 sebelum masyarakat India melaksanakan kerja-kerja pemulihan dengan mengekalkan reka bentuk serta bahan binaan asalnya.

Terletak pada ketinggian kira-kira 3,000 meter dari aras laut, kuil itu boleh dikunjungi dengan berjalan kaki, menyewa motosikal atau menggunakan perkhidmatan kenderaan pacuan empat roda (4WD) yang dibenarkan. Kenderaan tanpa kebenaran tidak dibenarkan memasuki kawasan itu berikutan laluan yang sempit dan curam.

Setibanya di kuil dengan menaiki kenderaan 4WD yang dipandu Vaithilingam, penulis melihat 108 anak tangga yang sedang dibaik pulih, dan proses baik pulih dijangka siap dalam tempoh dua bulan.

Bagaimanapun, kuil itu masih dibuka kepada orang ramai setiap hari dari 8 pagi hingga tengah hari untuk upacara sembanyang, tetapi ditutup pada waktu petang kecuali pada hari kebesaran tertentu dalam kalendar Hindu.

Pengunjung juga boleh melawat Pusat Warisan Kaum India Gunung Matang yang terletak berhampiran, yang menempatkan pelbagai artifak serta berpeluang mengetahui maklumat lanjut mengenai sejarah kuil berkenaan.

Selain struktur unik yang diperbuat daripada kayu belian, Vaithilingam berkata kuil itu turut memanfaatkan sumber semula jadi iaitu menggunakan air dari gunung, manakala tenaga elektrik dijana menerusi penggunaan solar.

“Perbelanjaan penyelenggaraan bulanan kami kira-kira RM5,000, khususnya untuk membayar gaji sami dan penjaga kuil. Setakat ini, kami mampu menampung kos berkenaan melalui dana dan sumbangan,” katanya.

STRUKTUR binaan Kuil Sri Maha Mariamman Gunung Matang, iaitu antara kuil Hindu tertua di Sarawak. Foto Bernama

Penganut yang ingin bermalam di kuil itu bagi menyertai upacara sembahyang khas boleh menggunakan kemudahan inap desa yang terletak bersebelahan pusat warisan berkenaan.

Vaithilingam, yang merupakan bekas pemandu Jabatan Kerja Raya (JKR), ialah generasi keempat masyarakat India Malaysia yang dilahirkan dan dibesarkan di Sarawak. Beliau telah mengunjungi kuil itu secara berkala sepanjang 50 tahun yang lepas.

Kuil berkenaan diuruskan oleh Persatuan Kuil Sri Maha Mariamman di Kuching, dan Vaithilingam telah berkhidmat sebagai pengerusi selama hampir 10 tahun.

Menjelang hari pengundian pada 12 Disember ini, kuil yang terletak dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tupong itu menjadi bukti kepelbagaian warisan budaya Sarawak, serta kepentingan memelihara mercu tanda bersejarah untuk generasi akan datang.

Dapatkan berita terkini Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-13 menerusi https://election.bernama.com/prn/sarawak/2026 .- Bernama

Menjejaki kuil kayu belian di Matang

KUCHING, 29 Nov: Bermula dengan carian di Google telah menarik minat seorang penulis kelahiran Semenanjung Malaysia untuk mengunjungi sebuah kuil