

SELANGAU: Seramai 116 mangsa banjir yang terdiri dari 32 Ketua Isi Rumah (KIR) daripada empat rumah panjang di daerah itu telah ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Serbaguna Selangau, setakat 11.15 pagi tadi.
Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Selangau, Rumah (Rh) Nyarapong menempatkan seramai 35 mangsa dari 12 KIR, Rh Magdeline (14 mangsa, 2 KIR), Rh Awa (52 mangsa, 16 KIR) dan Rh Ambrose (15 mangsa, 2 KIR).
“Daripada jumlah tersebut, mangsa terdiri daripada 28 lelaki dewasa, 31 wanita dewasa, 10 kanak-kanak lelaki, 15 kanak-kanak perempuan, seorang bayi lelaki, lima bayi perempuan, seorang perempuan orang kurang upaya (OKU), 10 warga emas lelaki dan 15 warga emas perempuan,” katanya menerusi kenyataan.
PPS Dewan Serbaguna Selangau telah dibuka sejak 7.30 petang, semalam.
Terdahulu, Timbalan Premier Sarawak yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkesempatan mengadakan lawatan ke PPS Dewan Serbaguna Selangau bagi meninjau keadaan mangsa.
Turut hadir, Ahli Parlimen Selangau Edwin Banta.
Oleh Akun Giman