BINTANGOR, 3 November: Pembinaan Pusat Dialisis Tulai bernilai RM3.5 juta yang bakal dilengkapi 15 mesin hemodialisis dijangka memperluas akses rawatan kepada pesakit buah pinggang di Meradong dan kawasan sekitarnya.
Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, projek yang diluluskan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg tersebut merupakan satu lagi usaha meningkatkan kemudahan kesihatan untuk masyarakat setempat.
“Saya amat gembira dan bersyukur atas kelulusan Projek Pembinaan Pusat Dialisis Tulai yang bakal membawa manfaat besar kepada penduduk Meradong, khususnya pesakit yang memerlukan rawatan dialisis.
“Pembinaan pusat dialisis ini akan memudahkan pesakit mendapatkan rawatan yang lebih dekat tanpa perlu melakukan perjalanan jauh ke kawasan lain,” katanya.
Beliau berkata demikian susulan taklimat kepada petender bagi projek tersebut yang diadakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Sarikei sebagai persediaan sebelum pelaksanaan kerja pembinaan.
Katanya, projek di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) tersebut dirancang menyediakan sehingga 90 slot rawatan dialisis sehari apabila beroperasi.
“Kemudahan berkenaan amat diperlukan bagi membantu pesakit yang menjalani rawatan secara berkala, selain mengurangkan beban perjalanan mereka dan ahli keluarga,” katanya.
Sementara itu, taklimat kepada petender turut dihadiri Jurutera Bahagian JKR Sarikei, Ir. Ts. Kennedy Kedo bersama 12 petender yang terlibat dalam proses tender projek tersebut.
Keputusan pemilihan petender dijangka diketahui pada 28 November ini, manakala kerja pembinaan dianggarkan mengambil masa setahun untuk disiapkan.
Dalam pada itu, Ding turut merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak atas kelulusan peruntukan bagi merealisasikan pembinaan pusat dialisis tersebut.
“Bagi pihak seluruh warga Daerah Meradong, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan jutaan terima kasih kepada Premier Sarawak atas keprihatinan serta kelulusan peruntukan bagi projek ini.
“Saya berharap pembinaan pusat dialisis ini dapat berjalan lancar dan disiapkan mengikut tempoh yang ditetapkan demi memberikan kemudahan rawatan kesihatan yang lebih dekat, mudah diakses dan berkualiti kepada masyarakat Meradong,” katanya.
Oleh Earl Anek





