KUALA LUMPUR, 3 November: Indeks utama Bursa Malaysia mencatatkan dagangan tidak menentu pada awal pembukaan, bergerak antara zon positif dan negatif sebelum meningkat, sejajar dengan prestasi bercampur-campur di Wall Street semalaman.
Pada 9.18 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 2.97 mata kepada 1,622.48 daripada 1,619.51 semasa ditutup semalam.
Indeks petunjuk pasaran dibuka tinggi 1.25 mata kepada 1,620.76.
Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 291 berbanding 150 manakala 282 kaunter tidak berubah, 2,000 tidak diniagakan dan 11 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 276.83 juta unit bernilai RM178.87 juta.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata Wall Street ditutup bercampur-campur berikutan saham berkaitan teknologi terus merosot walaupun harga minyak mentah menurun di bawah US$105 setong dengan harapan bahawa Amerika Syarikat (AS) dan Iran akan menyambung semula rundingan damai mereka.
Beliau berkata FBM KLCI ditutup tinggi semalam walaupun dibuka lemah, disokong oleh aktiviti belian saham pada harga rendah manakala pembelian oleh pelabur asing dilihat kembali walaupun secara tidak konsisten.
“Kami menjangka dagangan lembap menjelang pilihan raya pertengahan penggal AS hari ini. Oleh itu, kami menjangka indeks diniagakan antara 1,615 dan 1,625 hari ini,” katanya kepada Bernama.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank meningkat enam sen kepada RM10.04, Public Bank menambah dua sen kepada RM4.81, CIMB naik empat sen kepada RM6.96, Tenaga Nasional menurun dua sen kepada RM13.28 dan IHH Healthcare merosot tujuh sen kepada RM7.78.
Dalam dagangan aktif, GIIB dan Datasonic, masing-masing meningkat setengah sen kepada 50.5 sen dan 27 sen, AirAsia naik 3.5 sen kepada 48 sen, Nationgate menurun sembilan sen kepada RM1.97 dan Ni Hsin merosot setengah sen kepada 33.5 sen.
Nestle mendahului kaunter paling untung, meningkat 42 sen kepada RM96.54, Hong Leong Bank naik 20 sen kepada RM21.38, RHB Bank menambah 17 sen kepada RM7.67, AMMB melonjak 15 sen kepada RM6.42 dan United Plantations menokok 10 sen kepada RM29.40.
Kaunter paling rugi ialah MPI menurun 58 sen kepada RM39.20, Mi Technovation merosot 29 sen kepada RM6.01, Vitrox Corporation berkurangan 26 sen kepada RM10.22, Hengyuan Refining menyusut 19 sen kepada RM3.64 dan UWC menurun 16 sen kepada RM6.93.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 1.30 mata kepada 12,071.00 manakala Indeks FBM Top 100 menambah 2.38 mata kepada 11,881.66.
Indeks FBM Mid 70 berkurangan 77.63 mata kepada 17,309.95, Indeks FBM Emas Shariah menurun 45.71 mata kepada 12,055.82 dan Indeks FBM ACE merosot 29.57 mata kepada 5,313.42.
Mengikut sektor, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan menyusut 1.17 mata kepada 177.60, Indeks Tenaga merosot 6.71 mata kepada 830.18, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 137.10 mata kepada 18,706.51 dan Indeks Perladangan naik 12.78 mata kepada 8,715.02. – Bernama





