Belia berilmu berdisiplin aset penting pembangunan Sarawak

Facebook
WhatsApp
PENGERUSI SABERKAS Cawangan Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing bergambar bersama para belia pada Program Jangkauan MADANI-CAKNA Belia Daerah Meradong dan Julau. Foto Pusat Khidmat Penyandang Kerusi DUN Meradong

BINTANGOR, 3 November: Golongan belia yang berilmu, berdisiplin dan mempunyai semangat patriotisme merupakan aset penting dalam memastikan kesinambungan pembangunan Sarawak, selain berperanan membentuk masyarakat yang bersatu padu dan bertanggungjawab.

Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Meradong yang juga Pengerusi SABERKAS Cawangan Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, generasi muda bukan sahaja pewaris kepimpinan pada masa hadapan, malah memainkan peranan besar dalam membentuk masyarakat yang bersatu padu, berdisiplin dan mempunyai semangat cintakan negara.

“Golongan belia merupakan aset penting kepada pembangunan negara dan negeri Sarawak.

“Mereka bukan sahaja pewaris kepimpinan masa hadapan, malah memainkan peranan besar dalam membentuk masyarakat yang bersatu padu, berdisiplin serta mempunyai semangat cintakan negara,” katanya ketika merasmikan Program Jangkauan MADANI-CAKNA Belia Daerah Meradong dan Julau, kelmarin.

Beliau berkata, program anjuran SABERKAS Cawangan Meradong dengan kerjasama Pusat Latihan Kenegaraan Sampadi dan Akademi Kenegaraan Malaysia tersebut memberikan pendedahan mengenai nilai kenegaraan, patriotisme dan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia.

“Program seumpama ini mampu memberikan pendedahan dan meningkatkan kesedaran golongan belia mengenai nilai kenegaraan, semangat patriotisme serta tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia.

“Aktiviti sukan seperti bola sepak jalanan turut menjadi platform terbaik untuk menggalakkan gaya hidup sihat, memupuk semangat berpasukan dan mengeratkan hubungan persahabatan antara peserta dari Daerah Meradong dan Julau,” katanya.

Sehubungan itu, Ding menyeru golongan belia supaya memanfaatkan usia muda dengan kegiatan yang berfaedah, termasuk meningkatkan ilmu pengetahuan, menguasai kemahiran baharu dan melibatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan.

Beliau berkata, penyertaan aktif dalam program pembangunan belia penting bagi membentuk generasi yang mampu memberikan sumbangan kepada komuniti masing-masing.

“Golongan belia perlu memanfaatkan usia muda dengan perkara yang berfaedah, terus menimba ilmu pengetahuan, meningkatkan kemahiran serta melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti yang dapat memberikan manfaat kepada masyarakat,” katanya.

Sebagai Pengerusi SABERKAS Cawangan Meradong, Ding berharap pertubuhan itu terus berperanan sebagai platform yang menyatukan golongan belia tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang.

Katanya, pembangunan generasi muda perlu diberikan perhatian secara berterusan bagi memastikan Sarawak mempunyai pelapis berkualiti untuk meneruskan agenda pembangunan masyarakat.

“Generasi muda yang berilmu, berdisiplin, bertanggungjawab dan mempunyai semangat perpaduan amat diperlukan bagi meneruskan usaha pembangunan komuniti dan negeri Sarawak,” katanya.

Ding turut merakamkan penghargaan kepada SABERKAS Cawangan Meradong, Pusat Latihan Kenegaraan Sampadi dan Akademi Kenegaraan Malaysia atas kerjasama menjayakan program tersebut.

Beliau berharap setiap peserta dapat memanfaatkan ilmu dan pengalaman yang diperoleh untuk diaplikasikan dalam kehidupan seharian, serta meningkatkan daya saing pada masa hadapan.

Oleh Earl Anek