Wah Idris mahu Standing in the Eyes of the World diiktiraf sebagai lagu khas kebangsaan

Facebook
WhatsApp

KUALA LUMPUR, 3 November: Selepas hampir tiga dekad menjadi antara lagu yang dekat dengan jiwa rakyat Malaysia, komposer Datuk Wah Idris ingin melihat Standing in the Eyes of the World diberi pengiktirafan lebih besar sebagai lagu khas kebangsaan.

Wah, 69, berkata karya yang dipopularkan penyanyi Ella itu mempunyai nilai tersendiri dan wajar diangkat sebagai sebahagian daripada warisan muzik negara dan dimainkan dalam pelbagai acara rasmi serta program kenegaraan.

Katanya lagu itu wajar diberikan ruang dan pengiktirafan tersendiri sebagai karya yang mampu menyatukan rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang, selain membawa mesej negara ke pentas antarabangsa.

Sehubungan dengan itu, beliau menyarankan agar perkara tersebut diperhalusi dan dibawa kepada pihak berkaitan untuk pertimbangan serta perbincangan lanjut.

“Kita mesti feel proud that we have one solid neutral song that can bring or leverage rakyat Malaysia ke serata dunia, ” katanya pada simposium Standing in the Eyes of the World: Di Sebalik Proses Kreatif, Memori Kolektif dan Makna Sebuah Lagu sempena My Symposium on Practice as Research (MySPAR) 2026. 

Simposium anjuran Pusat Pengajian Pascasiswazah, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) turut dihadiri penyanyi Ella dan penulis lirik Datuk Habsah Hassan

Mengimbas penggubahan lagu itu, beliau berkata karya berkenaan bermula daripada keinginannya menghasilkan sebuah lagu yang mampu mengangkat nama Malaysia di persada antarabangsa bersempena dengan penganjuran Sukan Komanwel  (SUKOM) 1998.

Wah berkata beliau mahukan lirik yang bersifat universal dan tidak terikat pada tema sukan semata-mata, sebaliknya mampu menyemarakkan semangat serta keyakinan pendengar.

Gabungan melodi dan lirik berkenaan akhirnya menjadikan lagu itu terus dekat dengan masyarakat, malah penggunaannya berkembang melangkaui konteks temasya sukan yang menjadi titik mula penghasilan karya tersebut. 

Beliau turut melihat perkembangan itu sebagai bukti bahawa Standing in the Eyes of the World mempunyai potensi untuk terus hidup sebagai karya yang dimiliki dan dihargai oleh pelbagai lapisan masyarakat.

Lagu itu pernah mendapat perhatian Kedutaan Amerika Syarikat di Malaysia yang memilih karya tersebut yang diberikan nafas baharu untuk meraikan sambutan hari kemerdekaan negara berkenaan pada 4 Julai 2020.- Bernama

Jaclyn Victor teruja lihat potensi besar e-sukan

PENGALAMAN pertama menghiburkan ribuan peminat e-sukan memberikan Jaclyn Victor perspektif baharu tentang potensi besar industri itu dalam merancakkan sektor kreatif negara. Penyanyi