All Souls’ Day bukan sekadar ziarah pusara, eratkan ingatan terhadap insan tersayang

Facebook
WhatsApp
SUASANA Hari Memperingati Arwah (All Souls’ Day) di salah sebuah tanah perkuburan di Dalat.

DALAT, 3 November: Cahaya lilin menerangi Tanah Perkuburan Kristian Kampung Tanam, diserikan dengan susunan bunga dan iringan doa ahli keluarga yang hadir menziarahi pusara insan tersayang sempena sambutan Hari Memperingati Arwah (All Souls’ Day).

Suasana itu menjadi gambaran tradisi tahunan yang terus dipelihara masyarakat, bukan sekadar sebagai tanda penghormatan kepada mereka yang telah meninggal dunia, tetapi juga sebagai lambang kasih sayang dan ingatan yang tidak pernah terputus.

All Souls’ Day yang disambut pada 2 November setiap tahun dalam tradisi Gereja Katolik merupakan hari khusus untuk mendoakan serta memperingati semua umat beriman yang telah meninggal dunia.

AHLI keluarga menziarahi pusara insan tersayang sempena Hari Memperingati Arwah (All Souls’ Day) di Dalat.

Persiapan lazimnya melibatkan kerja membersihkan kawasan pusara, memotong rumput, menyusun bunga serta menyalakan lilin sebagai tanda ingatan dan penghormatan kepada ahli keluarga yang telah meninggal dunia.

Lebih daripada itu, kesempatan berkenaan turut menjadi ruang pertemuan ahli keluarga yang mungkin jarang berkumpul akibat tuntutan pekerjaan dan kehidupan seharian.

Dalam penghayatan agama Katolik, All Souls’ Day membawa makna mendalam mengenai doa, harapan dan kepercayaan terhadap kehidupan selepas kematian.

Amalan itu juga mengingatkan masyarakat bahawa pemergian seseorang bukan bermakna segala kenangan dan kasih sayang yang pernah dikongsi bersama turut berakhir.

Justeru, sambutan All Souls’ Day bukan sekadar tradisi tahunan, tetapi mencerminkan nilai kemanusiaan yang merentasi generasi, iaitu menghargai kehidupan, mengenang jasa dan terus mendoakan mereka yang telah mendahului kita.

Oleh Tarani Lanting